Trump desak CEO Intel kelahiran Malaysia letak jawatan serta-merta

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, Lip-Bu Tan, yang berasal dari Malaysia, supaya meletak jawatan serta-merta susulan dakwaan mempunyai konflik kepentingan membabitkan pelaburan di syarikat-syarikat China.
Dalam kenyataan di platform media sosial miliknya, Truth Social, Trump mendakwa Tan mempunyai hubungan kewangan yang 'sangat bercanggah' dengan syarikat yang dikaitkan dengan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China.
Menurut laporan Reuters, Tan didakwa melabur sekurang-kurangnya AS$200 juta (RM896 juta) dalam ratusan syarikat pembuatan dan cip termaju di China, termasuk beberapa yang dikaitkan dengan tentera negara itu.
Kenyataan Trump dibuat sehari selepas Reuters mendedahkan Senator Republikan, Tom Cotton menghantar surat kepada pengerusi lembaga pengarah Intel bagi membangkitkan persoalan mengenai kaitan Tan dengan firma-firma China dan kes jenayah melibatkan bekas syarikatnya, Cadence Design.
“CEO Intel sangat bercanggah dan mesti meletak jawatan serta-merta. Tiada penyelesaian lain untuk masalah ini,” kata Trump menerusi catatan di platform media sosialnya, Truth Social.
Saham Intel ditutup susut tiga peratus pada Khamis selepas kenyataan Trump itu disiarkan.
Pemerhati berpendapat, pertukaran kepimpinan boleh memberi tekanan tambahan kepada Intel yang menjadi tonggak usaha AS meningkatkan pembuatan cip domestik.
Tahun lalu, syarikat itu menerima subsidi berjumlah AS$8 bilion (RM35.8 bilion), iaitu peruntukan terbesar di bawah Akta CHIPS 2022, untuk membina kilang baharu di Ohio dan beberapa negeri lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Ladenburg Thalmann Asset Management, Phil Blancato berkata campur tangan Trump itu dianggap jarang berlaku kerana melibatkan presiden AS secara terbuka meminta seorang CEO melepaskan jawatan, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelabur.
“Ini akan menjadi satu duluan yang tidak baik. Anda tidak mahu presiden AS menentukan siapa yang mengendalikan syarikat, tetapi pendapatnya mempunyai merit dan pengaruh,” ujarnya,
Ketua bahagian ekuiti dan pengurus portfolio di Aptus Capital Advisors, David Wagner pula berkata, walaupun ramai pelabur menganggap Trump terlalu mencampuri urusan korporat, ia menjadi isyarat bahawa beliau serius mahu membawa semula perniagaan ke AS.
Dalam kenyataan balas, Intel berkata lembaga pengarah dan Tan “komited sepenuhnya untuk memajukan kepentingan keselamatan negara dan ekonomi AS” serta membuat pelaburan sejajar dengan agenda ‘America First’ presiden.
“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama dengan pentadbiran ini,” kata jurucakap syarikat itu.
Tan, yang mengambil alih jawatan CEO pada Mac lalu, tidak memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan Reuters untuk komen.
Reuters sebelum ini melaporkan bahawa Tan, secara peribadi dan melalui dana modal teroka yang diasaskan atau dikendalikannya, melabur dalam firma-firma China termasuk kontraktor dan pembekal kepada Tentera Pembebasan Rakyat antara Mac 2012 hingga Disember 2024.
Siasatan berdasarkan pangkalan data korporat China dan senarai rasmi AS mengenal pasti 20 dana pelaburan dan syarikat yang dikongsi pemilikan antara firma Tan, Walden International, dengan dana kerajaan atau syarikat milik negara China.
Dana-dana kerajaan itu kebanyakannya berasal dari bandar teknologi utama seperti Hangzhou, Hefei dan Wuxi.
Sumber yang mengetahui perkara tersebut memberitahu Reuters bahawa Tan telah melupuskan pegangan dalam entiti di China, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Tan, warga Malaysia kelahiran Muar, Johor, yang juga warganegara AS berketurunan Cina, pernah menjadi CEO Cadence Design dari 2008 hingga Disember 2021, ketika syarikat itu menjual produk kepada sebuah universiti tentera China yang dipercayai terlibat dalam simulasi letupan nuklear.
Bulan lalu, Cadence bersetuju untuk mengaku bersalah dan membayar lebih AS$140 juta (RM626 juta) bagi menyelesaikan tuduhan melanggar undang-undang eksport AS berhubung penjualan tersebut.-REUTERS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

