Kes video pelajar dibelasah berlaku pada 2023, sudah diselesaikan - Raisin

KOTA KINABALU - Video sekumpulan pelajar perempuan membelasah seorang pelajar lain yang dimuat naik di Facebook Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, adalah kejadian yang berlaku pada 2023.
Perkara itu disahkan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin yang memaklumkan bahawa kes dalam video berdurasi satu minit tersebut telah selesai pada tahun yang sama.
"Kes berlaku tahun 2023, jadi kes polis dan telah selesai pada tahun itu juga. Kes selesai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu rakaman video yang tular pada Khamis.
Dalam hantaran tersebut, Bung Moktar mendakwa kejadian itu melibatkan pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
Beliau turut meminta supaya mereka yang terlibat dikenakan hukuman.
Mengulas lanjut, Raisin turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan semula video-video lama yang melibatkan pelajar sekolah, kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada individu terlibat.
"Saya mendapati ada kes-kes melibatkan murid atau pelajar di luar kawasan sekolah yang berlaku beberapa tahun lepas ditularkan semula, walhal perkara itu telah pun selesai pada ketika itu.
"Penularan ini sangat tidak sihat kerana pelajar yang terlibat pada ketika itu ada yang masih belajar di sekolah menengah ataupun di kolej. Sikap mereka sudah pun terbentuk berikutan intervensi dan bimbingan oleh pihak sekolah.
"Sudah tentu penularan semula kes itu memberi kesan yang kurang baik kepada mereka yang terlibat kerana mereka juga ingin membina kehidupan yang bermakna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
