Impak tersembunyi di sebalik klik 'generate' AI

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) mungkin sedang membawa pengguna ke arah masa depan digital, namun tersembunyi impak yang besar kepada alam sekitar.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam menegaskan, dunia kini berdepan dilema antara keghairahan teknologi dan tanggungjawab kelestarian.
Katanya, isu itu dibangkitkan dalam Persidangan Piawaian AI APEC menerusi pembentangan Ketua Pegawai Teknologi AIQURIS, Dr Martin Serbeck baru-baru ini.
“Beliau mendedahkan penggunaan AI harian seperti menterjemah teks dan menjana imej sebenarnya mengaktifkan pelayan data berskala besar sekali gus memakan jumlah tenaga dan air yang mengejutkan.
“Untuk melatih satu model AI seperti GPT-3, penggunaan tenaga elektriknya bersamaan dengan mengecas 15,000 kali kereta Tesla. Itu baru latihan, belum lagi penggunaan harian,” katanya.
Apa yang lebih membimbangkan, penggunaan harian model AI (dikenali sebagai inference) oleh jutaan pengguna seluruh dunia secara senyap menyumbang kepada peningkatan tenaga dan pembaziran sumber air.
Di Malaysia, pertumbuhan pusat data di lokasi seperti Johor, Cyberjaya dan Petaling Jaya menunjukkan permintaan tinggi terhadap AI dan penyimpanan data. Namun, sejauh mana pembangunan tersebut benar-benar mesra alam?
Berdasarkan garis panduan Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), hanya pusat data berskala besar yang mencapai PUE 1.4 atau lebih rendah serta WUE tidak melebihi 2.2 m³/MWh layak menerima insentif kerajaan. Namun, pemantauan awam terhadap pematuhan tersebut masih rendah.
Mengulas lanjut, Saral berkata, bayangkan di negeri seperti Selangor dan Johor yang sedang hadapi isu bekalan air, pengguna mungkin sedang ‘membakar’ air demi menyimpan data tidak digunakan.
“Tambah membimbangkan, 40 peratus tenaga elektrik di pusat data dihabiskan semata-mata untuk menyimpan data lama yang tidak lagi relevan dikenali sebagai dead data.
“Lebih 80 peratus data yang disimpan global sebenarnya tidak digunakan lagi, tetapi masih makan ruang, tenaga dan sumber. Ini pembaziran digital yang jarang dibincangkan,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan Malaysia mencontohi pendekatan Singapura yang telah memperkenalkan standard tenaga untuk pusat data tropika dan mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 54 peratus.
“Peringatan daripada Dr Serbeck cukup jelas. AI boleh jadi solusi masalah perubahan iklim, tetapi juga boleh menjadi sebahagian daripada isu itu sendiri jika tidak dikawal.
“Sebelum kita tekan butang generate atau translate, tanya diri dahulu adakah ini benar-benar perlu? Ini kerana setiap klik mungkin membawa impak kepada planet kita,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

