Anak cekik, tanam mayat ibu dalam tong konkrit

BANGKOK – Seorang lelaki mengejutkan pihak berkuasa apabila hadir ke balai polis dan membuat pengakuan telah membunuh ibunya sebelum menanam mayat warga emas itu dalam sebuah tong dipenuhi konkrit di rumah mereka.
Menurut laporan Bangkok Post, jurucakap polis berkata, lelaki tersebut memegang kad pengenalan yang mengesahkan statusnya sebagai pesakit mental.
Lelaki berusia 33 tahun itu hadir ke balai polis sekitar jam 11.30 pagi dan secara sukarela memaklumkan tentang jenayah yang dilakukannya.
Suspek memberitahu, dia telah mencekik ibunya yang berusia 73 tahun di rumah mereka di Jalan Kheha Romklao 27, kira-kira dua minggu sebelum kejadian dilaporkan.
Mayat mangsa kemudian dimasukkan ke dalam tong simpanan air di bilik mandi sebelum ditutup dengan lapisan konkrit.
Bertindak atas maklumat itu, polis bersama pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian.
Di rumah tersebut, mereka menemui sebuah tong yang dipenuhi konkrit dan ditutup dengan kain.
Bau busuk yang datang daripada tong berkenaan menandakan kehadiran mayat yang telah mereput.
Setelah konkrit dipecahkan, pasukan polis menemui mayat seorang wanita di dalamnya, dipercayai mangsa yang dimaksudkan oleh suspek.
Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan latar belakang kejadian tragis tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

