Polis buru lelaki bertopeng samun warga emas

KLUANG - Polis memburu seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes samun terhadap seorang wanita warga emas berusia lingkungan 90-an di sebuah rumah di Jalan Melati, Kampung Melayu, Simpang Renggam.
Tindakan suspek yang memakai topeng dan mengarahkan mangsa terus makan tanpa bangun ketika kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan, sebelum tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.02 petang, Rabu lalu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan suspek sedang giat diteruskan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Rakaman video berdurasi dua minit 50 saat itu memaparkan suspek berpakaian baju biru gelap memasuki rumah, sebelum menyelongkar ruang tamu untuk mencari barang berharga termasuk wang tunai.
Mangsa turut dilihat cuba menjerit meminta pertolongan selepas suspek merampas wang dari dompetnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

