Pekeliling wajib bayar gaji pekerja dicutikan perlu segera diwarta

Sivanesan
Sivanesan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia digesa mewartakan segera satu pekeliling khas mewajibkan pihak majikan menanggung kos gaji pekerja yang diarahkan bercuti sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu mulai esok.

Pengamal undang-undang buruh, A Sivanesan berkata, arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu disebabkan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) oleh kerajaan adalah suatu keadaan yang tidak pernah dialami negara sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan Akta Pekerja 1955, majikan sebenarnya tidak boleh dipaksa membayar gaji pekerja selama dua minggu susulan arahan terkini kerajaan itu, bahkan tindakan memenuhinya sekadar memenuhi tanggungjawab sosial pihak syarikat untuk menjaga kebajikan pekerja.

"Sekiranya tiada suatu peraturan atau pekeliling dikuatkuasakan kerajaan menerusi kementerian terlibat, banyak syarikat terutama syarikat kecil mungkin mengambil sikap enggan membayar gaji pada tempoh pekerja mereka terpaksa dicutikan atas arahan kerajaan.

"Melalui situasi pandemik Covid-19 ketika ini, Menteri Sumber Manusia dengan segera boleh mewartakan satu pekeliling bagi mewajibkan majikan membayar gaji pekerja mereka yang terpaksa dicutikan selama dua minggu tanpa perlu mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Di sebalik cadangan penguatkuasaan pekeliling berkenaan, Sivanesan yang juga bekas Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut merayu kerajaan supaya mengambil kira kepentingan majikan terbabit dengan meningkatkan dana pakej rangsangan ekonomi tahun 2020 kepada RM30 bilion, khusus ditumpukan membantu sektor pekerjaan swasta.

Menurutnya, kerajaan harus mengeluarkan pakej rangsangan ekonomi kedua khas kepada golongan pekerja swasta kerana implikasi besar sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan dipanjangkan bakal dirasai sejumlah 14.7 juta pekerja sektor itu.

"Dalam hal ini, saya fikir Menteri Sumber Manusia mungkin perlu panggil semua pemegang taruh sektor pekerjaan untuk bermesyuarat bagi mendapat pandangan tuntas sebelum satu regulasi atau garis panduan baharu dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, satu mesyuarat tergempar Kabinet juga perlu diadakan bagi mengenal pasti kaedah lain yang boleh membantu pekerja atau majikan terjejas akibat Covid-19,"katanya.

Sivanesan berkata, memandangkan krisis ekonomi akibat Covid-19 adalah krisis global, kerajaan juga dicadangkan mengurangkan beban pekerja dengan menggalakkan institusi perbankan menawarkan tempoh bernafas tanpa faedah dalam aspek pembayaran semula pinjaman.

"Selain itu, kerajaan juga perlu memberi kemudahan kepada pihak majikan dengan pemberian kelonggaran khas pembayaran cukai pendapatan syarikat dan cukai perniagaan bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan masalah kegawatan ekonomi berlaku kini," katanya.