Kes langgar lari: Suspek miliki lebih 10 rekod jenayah

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai pemandu langgar lari hingga maut diburu polis. Foto kecil: Mohamad Hatta
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai pemandu langgar lari hingga maut diburu polis. Foto kecil: Mohamad Hatta
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki yang memiliki lebih 10 rekod jenayah kini diburu polis selepas terlibat dalam satu insiden langgar lari yang mengorbankan seorang remaja berusia 18 tahun di Jalan Temiang, berhampiran Simpang Bukit Jong, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Che Wan Muhammad Aqif Mustaqim Che Faizal, yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja, dirempuh sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandu suspek, R. Puvarasan, 28.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum memecut kenderaannya lalu merempuh mangsa.

"Suspek meninggalkan lokasi sejurus kejadian. Pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk pecah rumah termasuk tukul besi, sarung tangan, kain dan pemotong," katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri pengebumian mangsa yang merupakan anak kepada anggota polis yang bertugas di Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah, Keselamatan dan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Jenazah Che Wan Muhammad Aqif Mustaqim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqribah Salimah, Taman Zaitun Indah, Sikamat, sekitar jam 6 petang.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah stesen minyak di Palm Mall, di sini.

Mohamad Hatta turut mengesahkan bahawa suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kes dadah, namun tiada kaitan dengan kecurian kabel.

“Dia memang melarikan diri daripada polis dan memecut kenderaan sebelum pelanggaran berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor G Sankar di talian 014-6000353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!