[VIDEO] RMK13 mengecewakan, gagal perbaiki kelemahan lalu – Ahmad Samsuri

A
A
A

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan baru-baru ini mengecewakan kerana gagal memperbaiki kelemahan pelaksanaan dalam rancangan pembangunan negara sebelum ini.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan dilihat tidak mengambil peluang sepenuhnya untuk menambah baik kelemahan-kelemahan yang wujud dalam Rancangan Malaysia terdahulu.

"Secara lebih mendalam, saya akan bahaskan RMK13 minggu hadapan di Dewan Rakyat. Tetapi secara umum, saya boleh katakan bahawa apa yang dibentangkan itu agak mengecewakan.

"Perkataan itu mungkin sedikit pedas, tetapi itu yang saya boleh katakan. RMK13 ini sepatutnya menjadi medan untuk memperbetulkan pelbagai kelemahan termasuk dari sudut pelaksanaan yang sering menjadi isu dalam RMK sebelum ini," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri (tengah) ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu.
Ahmad Samsuri (tengah) ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata, pembentangan kali ini turut menimbulkan kekeliruan kerana tiada pembahagian yang jelas antara rancangan jangka panjang dengan pembentangan projek dalam bajet tahunan (Belanjawan).

"RMK sepatutnya ada peranan khusus, berbeza dengan bajet tahunan. Tetapi kali ini, ia seolah-olah bercampur. Kita pun tak pasti yang mana satu perancangan RMK dan yang mana bajet tahunan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Samsuri turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur, terutamanya dalam penyediaan infrastruktur.

"Ada projek besar yang sedang dalam perbincangan, seperti Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), yang masih belum mendapat perhatian sewajarnya walaupun telah dibincang sejak RMK terdahulu.

"Memang kosnya besar, tetapi jika dibandingkan dengan projek-projek mega di negeri seperti Pulau Pinang, kita boleh lihat jurang yang ketara.

"Saya tidak ada masalah dengan Pulau Pinang, mereka juga rakyat Malaysia yang berhak kepada pembangunan," katanya.

Tambahnya lagi, tumpuan terhadap keseimbangan pembangunan di seluruh negara perlu agar tiada negeri atau rakyat yang tercicir.

"Apa yang kami perjuangkan dahulu ialah 'sharing of prosperity' dalam kalangan rakyat seluruh negara. Jangan ada negeri atau rakyat yang tertinggal," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!