Dua warga Bangladesh maut dilanggar ketika menunggang basikal

MUAR – Dua penunggang basikal warga Bangladesh maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Parit Yusof di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima pada kira-kira jam 8.45 malam.
Menurut beliau, nahas melibatkan tiga penunggang basikal warganegara Bangladesh serta sebuah kenderaan yang belum dapat dikenal pasti.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa tiga lelaki Bangladesh berusia 21 tahun masing-masing menunggang basikal dalam perjalanan dari Parit Yusof menuju ke Bukit Mor dalam keadaan menyongsang arus.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketiga-tiga penunggang basikal tersebut telah dilanggar sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran dan jenis yang tidak pasti lalu bergerak terus di laluan Parit Yusof menghala ke Bukit Mor,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan dua daripada mereka mengalami kecederaan di kepala serta badan.
“Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Seorang lagi mangsa dilaporkan cedera dan pihaknya kini sedang mengesan pemandu kenderaan terlibat bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairun Izham Noor Yusry di talian 013-9121508 atau hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

