Ganjaran antara langkah terbaik perangi salah laku

Rasuah perlu diperangi habis-habisan supaya sistem pentadbiran negara yang pincang dapat diperbaiki.
Rasuah perlu diperangi habis-habisan supaya sistem pentadbiran negara yang pincang dapat diperbaiki.
A
A
A

CADANGAN Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor agar kerajaan memberikan ganjaran kepada penjawat awam yang melaporkan salah laku dalam jabatan mengikut lunas undang-undang wajar dipertimbangkan secara serius.

Dalam usaha membanteras rasuah dan penyelewengan yang kian mencengkam institusi awam, pendekatan luar kotak seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada perubahan budaya kerja yang lebih telus, berani dan bertanggungjawab.

Kita akui bahawa dorongan kewangan merupakan salah satu motivasi utama manusia. Maka, ganjaran tunai walaupun jumlahnya tidak besar boleh menjadi satu bentuk pengiktirafan kepada keberanian moral penjawat awam yang tampil membongkar salah laku dalaman.

Ini juga memberi isyarat jelas bahawa integriti dihargai dan tidak akan dipandang ringan oleh pihak kerajaan.

Pemberi maklumat atau whistleblower sering kali menghadapi tekanan, risiko keselamatan dan stigma sosial. Tanpa sokongan dan perlindungan yang memadai, ramai memilih untuk berdiam diri, walaupun sedar akan kewujudan penyelewengan.

Jika kaedah ini telah pun digunakan dalam kes jenayah tertentu, maka tiada salahnya ia diperluaskan ke dalam sektor perkhidmatan awam khususnya dalam konteks membanteras rasuah dari peringkat akar umbi.

Ganjaran yang dicadangkan, misalnya RM1,000 atau RM2,000 secara sulit, bukan sahaja bersifat insentif, tetapi juga sebagai tanda penghargaan terhadap semangat patriotisme dan kebertanggungjawaban kepada negara. Ia secara tidak langsung dapat membina keyakinan masyarakat terhadap sistem pentadbiran.

Lebih penting, langkah ini boleh ‘memotong’ masalah dari awal sebelum ia merebak dan membawa kerosakan yang lebih besar kepada sistem pentadbiran negara.

Kita tidak boleh hanya mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguat kuasa semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Perubahan mesti datang dari dalam atau daripada mereka yang melihat, mendengar dan menyaksikan sendiri kesalahan itu berlaku.

Maka, cadangan ini adalah tepat pada masanya dan perlu disambut baik oleh kerajaan.

Undang-undang serta garis panduan pelaksanaan boleh diperincikan kemudian, tetapi hasrat memperkasakan keberanian penjawat awam demi kebaikan negara wajib diberi keutamaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!