Beli barang macam nak raya

Suasana pasaraya Sabasun yang dipenuhi orang ramai.
Suasana pasaraya Sabasun yang dipenuhi orang ramai.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seolah-olah mahu sambut raya. Itu perumpamaan suasana pasar raya di sini apabila orang ramai berpusu-pusu membeli barang keperluan harian selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan susulan koronavirus (Covid-19), malam tadi.

Pengurus Sabasun Hyperuncit, Mohd Azwan Saad berkata, orang ramai dilihat memenuhi pintu masuk utama pasar raya itu sejak jam 8.30 pagi walaupun operasi bermula pada jam 9 pagi namun keadaan masih terkawal.

Menurutnya, kehadiran orang ramai yang dipercayai melakukan pembelian panik itu menyebabkan pihaknya terpaksa membuka 16 kaunter pembayaran berbanding 10 kaunter pada hari biasa.

“Antara barang yang paling mendapat permintaan adalah gula, minyak masak, tepung, beras dan ayam. Tapi hari ini kita hadkan ayam boleh beli dua ekor sahaja untuk setiap pelanggan.

“Namun melihat kepada pembelian luar biasa ini, kita juga akan hadkan belian enam kilogram (kg) gula dan tiga botol minyak masak 5 kg bagi setiap pelanggan supaya orang lain boleh dapat bekalan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa pemeriksaan trend pembelian orang ramai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Terengganu di pasar raya tersebut hari ini.

Selain Sabasun Hyperuncit Bukit Kecil, kesesakan orang ramai dilaporkan turut berlaku di dua cawangan lain iaitu Sabasun Wakaf Tembesu, Kuala Nerus dan Ajil, Hulu Terengganu.

Saharuddin melihat bekalan ayam di Sabasun. Pembelian bahan mentah itu dihadkan kepada dua ekor kepada setiap pelanggan hari ini.
Saharuddin melihat bekalan ayam di Sabasun. Pembelian bahan mentah itu dihadkan kepada dua ekor kepada setiap pelanggan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu kata Mohd Azwan, beliau akan berbincang dengan pengurusan Sabasun kemungkinan melanjutkan waktu operasi atau dibuka 24 jam bagi mengelak berlakunya kesesakan orang ramai di pasar raya itu.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan serbaneka dibuka seperti biasa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan.

“Kita juga sentiasa berkomunikasi dengan pihak pembekal dan setakat ini bekalan barang keperluan harian mencukupi.

“Oleh itu jangan panik dengan beli banyak barang seolah-olah kita mahu buka sebuah lagi kedai runcit di rumah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga sesuka hati dan menyorok bekalan sepanjang tempoh kawalan pergerakan berlangsung kerana 214 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Terengganu sentiasa membuat pemantauan.