Jangan panik bekalan barangan keperluan cukup

Pekerja Econsave terpaksa menambah stok minyak masak selepas orang ramai melakukan pembelian panik bermula semalam.
Pekerja Econsave terpaksa menambah stok minyak masak selepas orang ramai melakukan pembelian panik bermula semalam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Orang ramai di sekitar jajahan ini dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik barangan keperluan untuk dijadikan stok berikutan langkah kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang berkuatkuasa esok.

Pengurus Pasar Raya Econsave Pasir Puteh, Toh Shahrin berkata, pihaknya memberi jaminan stok bekalan barangan keperluan harian di pasar raya itu mencukupi sepanjang pelaksanaan tempoh berkenaan.

"Tidak cukup dengan itu, Econsave tetap menawarkan harga berpatutan sebagaimana hari-hari biasa.

"Nasihat saya jangan buat pembelian panik kerana stok kami cukup untuk menampung permintaan orang ramai," katanya selepas mendapati orang ramai mula membuat pembelian panik di pasar raya berkenaan semalam.

Sementara itu, seorang pengguna, Samsiah Mat Amin, 56, berkata, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak membuat pembelian panik dalam keadaan ketika ini.

Orang ramai turut mendapatkan bekalan barangan basah di kedai tepi jalan.
Orang ramai turut mendapatkan bekalan barangan basah di kedai tepi jalan.

"Saya hanya berbelanja mengikut keperluan sahaja pada hari ini selaras dengan saranan kerajaan yang menegaskan kawasan pasar dan pasar raya tidak akan ditutup.

"Jadi buat apa saya nak berlumba-lumba untuk mendapatkan barangan makanan jika ia masih boleh dilakukan seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia berharap orang ramai dapat bertenang dan memahami situasi semasa yang sedang dihadapi oleh negara ketika ini.

Katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan merupakan langkah terbaik dalam mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai dilihat mula menyerbu beberapa buah pasar raya, kedai borong, pasar basah di sekitar jajahan ini bagi membeli barangan makanan untuk dijadikan sebagai stok sementara selepas kerajaan mengeluarkan perintah tersebut.

Orang ramai mulai menyerbu pasar raya untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, sardin, telur, minyak masak dan makanan segera.

Tiada pembelian 'panik' dilakukan oleh orang ramai di Pasar Siti Hajar.
Tiada pembelian 'panik' dilakukan oleh orang ramai di Pasar Siti Hajar.

Berlainan pula di kawasan pasar Siti Hajar, pasar borong dan pasar lama apabila tiada pembelian panik dilakukan oleh orang ramai.

Dalam perkembangan lain, peniaga beras, Nurul Ashikin Rozuhan, 35, berkata, berlaku sedikit peningkatan harga beras diimport dari Thailand bermula hari ini sekitar RM2.

Katanya, peningkatan itu disebabkan oleh pembekal menaikkan harga ekoran stok berkurangan ketika ini.

"Setakat ini beras di kedai saya masih mencukupi untuk menampung permintaan.

"Namun sejak semalam orang ramai membeli beras lebih daripada biasa, mungkin mereka takut bekalan habis," katanya.

Menurutnya, bukan setakat beras, beras pulut turut mendapat perhatian luar biasa orang ramai untuk dibeli dan ia seakan-akan seperti musim perayaan.