Jalan basah punca koperal maut motosikal hilang kawalan

KOTA BHARU – Permukaan jalan basah dipercayai menyebabkan seorang anggota polis berpangkat koperal maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pulau Melaka di sini pada Rabu.
Mangsa, Muhamad Alimi Kamarudin, 35, yang bertugas di Cawangan Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Panji menghala ke Kota Jembal.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan basah sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Motosikal mangsa kemudian bergesel dengan bahagian hadapan sisi kanan sebuah SUV jenis Proton X70 yang dipandu lelaki berusia awal 40-an dari arah bertentangan.
"Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat koperal maut semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dipercayai dirempuh kereta selepas terjatuh dari motosikal jenis Yamaha LC di Pulau Melaka di sini pada Rabu.
Mangsa yang bertugas di Cawangan Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Marak selepas tamat waktu bekerja.
Isterinya, Khalidah Adilah Zainudin, 31, berkata, sekitar jam 4 petang dia membuat panggilan kepada suaminya namun tidak dijawab dan panggilan kedua diangkat namun yang menjawabnya adalah orang lain.
Mohd Azmir memberitahu, pemandu serta penumpang Proton X70 berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
Kata Mohd Azmir, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-7752315," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

