'Iya, aku masih lagi nda maafkan si Zara' - Rakaman suara berkaitan 'Kak M' tular

Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas disyaki terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar.
Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas disyaki terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar.
A
A
A

KOTA KINABALU – Satu lagi rakaman suara perbualan antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dan ibunya, Noraidah Lamat, 45, tular di media sosial, memperlihatkan ketakutan dan kebimbangan yang dialami remaja itu terhadap seorang pelajar yang dikenali sebagai ‘Kak M’.

Menerusi video berdurasi 44 saat itu yang dipercayai dirakam oleh ibunya, Zara meluahkan kebimbangan berhubung seorang pelajar senior yang didakwa sering mengganggunya.

"Mak, Zara takut terjumpa Kak M, dia masih lagi...Haritu Zara minta tolong ada orang ni kan, cuba ko tanyakan dekat adiknya, cuba kau tanyakan dekat si Kak M masih lagikah dia ada masalah dengan aku. Lepas itu, Kak M tu bilang, 'iya aku masih lagi nda maafkan si Zara', mak...," kata suara dalam rakaman tersebut.

Dalam perbualan itu, ibunya turut bertanya sama ada Zara sudah memadam namanya yang dipercayai ditulis di ruangan dalam bilik Rekabentuk dan Teknologi (RBT), namun menurut Zara, nama tersebut telah ditulis semula oleh seseorang.

“Mak, Zara sudah padam… lepas tu dibuatnya balik,” katanya dalam nada resah.

Rakaman itu turut memaparkan nada kebimbangan Zara yang tertanya-tanya kemungkinan buruk yang boleh berlaku terhadapnya.

“Kalau dia buat juga, macamana? Haritu dia pernah bilang, ‘kalau aku touch kau ni, berdarah-darah kau ni.’ Kalau dia buat mak, apa jadi?” soal Zara dalam perbualan tersebut.

Bagaimanapun, tarikh sebenar perbualan telefon itu tidak dapat dipastikan, namun rakaman itu pernah didedahkan menerusi kenyataan pasukan peguam Ismail Hamid dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu Allahyarham pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Ismail ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan bahawa rakaman yang tular itu adalah milik dua beranak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas perkembangan kes berkenaan dan menegaskan bahawa ia tidak boleh dipandang ringan.

Pihak polis sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan telah lengkap dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Allahyarham Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar.

Kematian remaja berkenaan mendapat perhatian meluas, terutama dalam media sosial apabila ia dikaitkan dengan dakwaan insiden buli.

Susulan itu, tanda pagar #JusticeForZara digunakan secara meluas sebagai solidariti rakyat yang mahu siasatan dijalankan secara telus dan adil.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!