RMK13: KPDN perkukuh rantaian bekalan, perangi orang tengah

PENAMPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan kestabilan pasaran, khususnya dalam aspek harga dan bekalan barangan keperluan harian, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara pendekatan utama yang akan dilaksanakan ialah mewujudkan persaingan sihat serta membanteras manipulasi dalam pasaran, termasuk oleh orang tengah.
“Dalam tempoh lima tahun RMK13, kerajaan akan memperkukuh rantaian bekalan makanan. Usaha ini akan dilaksanakan melalui penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan sektor peruncitan, penyediaan platform bagi ketelusan harga dan penguatkuasaan kawal selia secara menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini.
Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar menyempurnakan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Pesara Guru (Rancakkan Madani Sabah) pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketersediaan infrastruktur pemasaran yang merangkumi pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran serta kemudahan logistik dan perkhidmatan digital akan dipertingkatkan menerusi kerjasama strategik dengan sektor swasta.
Selain itu, katanya, peruncit berskala kecil dan sederhana juga akan diperkasakan agar dapat terlibat secara lebih aktif dalam hab pemasaran agromakanan yang bakal diperkenalkan kelak.
"Bagi menjamin ketelusan harga sepanjang rantaian bekalan, Sistem Repositori Harga dan Bekalan akan dibangunkan. Sistem ini dijangka dapat membanteras pencatutan serta manipulasi harga melalui pemantauan berasaskan data secara menyeluruh.
“Sistem ini penting untuk menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga, termasuk oleh orang tengah. Ia juga akan menyokong penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan sistem berkenaan akan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan pemain industri bagi memastikan pendekatan holistik dalam menstabilkan harga serta memperkukuh keselamatan makanan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan memaklumkan bahawa agenda menangani isu kos sara hidup di bawah Kerajaan Madani melibatkan dua kerangka strategi utama.
“Bukan sahaja kita perlu melihat kepada persoalan peningkatan ‘kos’, iaitu kestabilan harga dan kadar inflasi, tetapi juga kepada soal meningkatkan keupayaan ‘sara hidup’ itu sendiri melalui penambahan bantuan dan penjanaan pendapatan rakyat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

