Sri Ram bebas Covid-19

Gopal Sri Ram. - Foto sumber internet
Gopal Sri Ram. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Gopal Sri Ram disahkan negatif koronavirus (Covid-19).

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berumur 76 tahun itu memaklumkan mengenai keputusan itu kepada Bernama menerusi satu kenyataan ringkas.

"Saya disahkan bersih. Betul-betul baik,” kata Sri Ram.

Ditanya sama ada pihak pendakwaan menerima sebarang arahan dari Mahkamah Tinggi mengenai penangguhan perbicaraan 1MDB susulan arahan kawalan pergerakan, Sri Ram berkata, "Setakat ini tiada sebarang perkembangan terbaharu."

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia akan diletakkan di bawah arahan kawalan pergerakan seluruh negara mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020, berikutan penularan wabak Covid-19.

Arahan itu, yang pertama kali dalam sejarah negara, diumumkan oleh Perdana Menteri secara langsung menerusi televisyen di seluruh negara malam tadi.

Muhyiddin juga berkata, semua bangunan kerajaan dan swasta akan ditutup melainkan mereka yang menyediakan perkhidmatan penting.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac

Khamis lepas, Sri Ram memaklumkan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan 1MDB bahawa beliau diminta melakukan ujian kali kedua susulan beliau kontak rapat dengan dua pesakit yang sedang menjalani siasatan (PUI) bagi Covid-19.

Pada hari yang sama, perbicaraan itu dikosongkan selepas mahkamah dimaklumkan bahawa ketua peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempunyai kontak dengan ipar perempuannya pada 12 Mac lalu, yang juga adalah kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19.

Pada Jumaat, dilaporkan bahawa Muhammad Shafee dan kesemua pasukan pembelaan telah melalui ujian dan didapati negatif daripada virus itu.

Hakim Sequerah menetapkan Khamis untuk perbicaraan itu disambung.

Apabila perbicaraan itu disambung, Muhammad Shafee dijangka meneruskan dengan menyoal balas saksi kesembilan pendakwaan, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalah guna kedudukannya untuk mendapatkan gratifikasi melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram membabitkan dana yang sama. - Bernama