Ahli Parlimen Bandar Kuching positif Covid-19

Kelvin disahkan positif Covid-19 dan kini dikuarantin di Hospital Umum Sarawak untuk pemantauan selanjutnya.
Kelvin disahkan positif Covid-19 dan kini dikuarantin di Hospital Umum Sarawak untuk pemantauan selanjutnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan kini dikuarantin di Hospital Umum Sarawak.

Kelvin menerusi ciapan di Twitter memberitahu, beliau dimasukkan ke wad hospital berkenaan lewat malam tadi dan kini menjalani kuarantin untuk pemantauan lanjut mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Saya berada dalam keadaan stabil dan ujian dijalankan di wad setakat ini menunjukkan saya tidak mengalami demam atau gejala lain.

"Bagaimanapun pada 2 Mac lalu saya ada berhubung dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu namun tidak mengalami sebarang simptom dalam tempoh dua minggu selepas itu," ciapnya di Twitter hari ini.

Terdahulu, Ling Biu yang menerima rawatan di Hospital Sibu turut disahkan positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Menerusi ciapan sama, Kelvin memberitahu sesiapa yang pernah berhubung dengannya sebelum ini untuk tidak panik.

"Ambil langkah berjaga-jaga dengan membuat pemeriksaan atau ujian berkaitan segera bagi mengelakkan penularan wabak tersebut.

"Saya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan percaya kita dapat menghadapi saat-saat sukar ini bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, Kelvin turut menjadi salah seorang panelis pada Wacana Sinar ke-160 bertajuk Menteri Baharu: Apa Harapan Rakyat yang berlangsung di Auditorium Karangkraf.