Mahkamah boleh arah gali semula kubur - Peguam

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Nor Zabetha Muhamad
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Nor Zabetha Muhamad
A
A
A

SHAH ALAM- Mahkamah boleh mengarahkan pihak tertentu untuk menggali semula kubur bagi mengeluarkan mayat mangsa untuk tujuan bedah siasat, selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah mengikut undang-undang Malaysia.

Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad berkata, bagaimanapun prosedur itu difahamkan tidak boleh membantu untuk menilai tisu lembut kerana jasad telah membusuk, tetapi masih relevan bagi kecederaan tulang.

Menurutnya, ia berdasarkan keterangan Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

"Saya ambil keterangan Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dalam kes kematian kadet Zul Farhan (PP lwn. Muhammad Akmal Zuhairi Akmal & Ors [2024] 1 CLJ 795).

"Bagi orang Islam perlu mendapatkan keizinan khas Jabatan Agama Islam Negeri. Bagaimanapun, sudah tentu jika mayat mangsa dikeluarkan, keadaannya tidak sama tetapi banyak kecederaan tulang akan kelihatan.

"Sebenarnya terdapat banyak kes di Malaysia, jenazah yang ditanam telah digali semula 'exhume' atau ‘exhumation’ untuk bedah siasat," katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, seorang ibu, Noraidah Lamat mengarahkan dua peguam untuk menguruskan proses bagi membolehkan kubur anaknya, Zara Qairina Mahathir itu digali semula untuk proses bedah siasat.

Tambah Nor Zabetha, dalam kes kematian Dr Sebastian Joseph bapa plaintif pertama iaitu Joseph Anthony yang memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menggali semula (exhume) mayat anaknya pada 7 Januari 2015 bagi menjalankan bedah siasat kedua.

Jelasnya, bapa Joseph mendakwa bahawa berdasarkan bedah siasat yang kedua mendedahkan bedah siasat pertama dilakukan secara cuai dan tidak kompeten.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam kes ini polis didakwa menjalankan siasatan yang cuai dan tidak profesional, gagal menyiasat punca kematian secara menyeluruh.

"Jadi Plaintif sebagai bapa menyaman pegawai perubatan, polis, pengarah hospital, Ketua Polis dan Kerajaan Malaysia.

"Dalam kes ini terdapat isu-isu tentang kedudukan undang-undang antaranya kewajipan pegawai perubatan adalah untuk kepentingan masyarakat dan bukan pada keluarga, terdapat isu had masa.

"Berdasarkan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, tindakan terhadap pegawai awam atau pihak berkuasa Awam mestilah dalam tempoh tiga tahun dari perbuatan. Memandangkan tindakan ini diambil melebihi tiga tahun, jadi tuntutan plaintif ditolak," ujarnya.

Sementara itu, Nor Zabetha memberitahu, dalam kes Zahidah Ahmad dan adik tirinya iaitu Maznah polis mendapatkan perintah mahkamah untuk gali semula mayat mangsa iaitu Tanziah Zainuddin

Katanya, Tanziah yang juga ibu tiri kepada tertuduh telah dikebumikan tanpa 'post mortem'.

"Sewaktu memandikan jenazah, ahli keluarga nampak kesan lebam tetapi meneruskan urusan pengebumian.

"Selepas kejadian, gelang emas mangsa hilang dan dijual di kedai pajak oleh teman lelaki Zahidah

"Ahli keluarga mula syak terdapat unsur jenayah, laporan polis dibuat. Setelah mayat digali, bedah siasat dijalankan namun punca kematian tidak dapat dipastikan kerana pereputan," jelasnya.

Tambah Nor Zabetha, kedua-dua tertuduh kemudiannya dijatuhi hukuman.

"Maznah dikenakan perintah tahanan di bawah Yang di-Pertuan Negeri kerana umur (remaja) ketika kejadian manakala Zahidah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dihukum penjara 30 tahun.

"Keputusan untuk menggali semula mayat bukan mudah tetapi ahli keluarga akan cuba mencari keadilan sewajarnya kerana mereka mahukan jawapan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!