Covid-19: Bicara Bung Mokhtar, Zizie Izette tangguh

Bung (kiri) turut diiringi isteri, Zizie Izzete (Kanan) selepas sesi perbicaraan ditangguhkan.
Bung (kiri) turut diiringi isteri, Zizie Izzete (Kanan) selepas sesi perbicaraan ditangguhkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad ditangguhkan sepanjang bulan ini, susulan perintah kawalan pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob membenarkan penangguhan itu selepas mendengar permohonan peguam, K Kumaraendran dalam prosiding, hari ini.

Kumaraendran memberitahu mahkamah, susulan perintah itu, Bung Moktar perlu segera pulang ke Sabah dan berkhidmat di kawasan Parlimen beliau.

"Dia ada tanggungjawab terhadap kawasannya dan perlu pulang ke Sabah. Ini penting," katanya.

Menurut Kumaraendran, permohonan penangguhan itu juga dibuat kerana beliau dan pasukan pembelaan perlu pulang ke pejabat mereka di Pulau Pinang bagi menguruskan beberapa perkara susulan perintah tersebut.

"Ini kerana mulai esok, semua pejabat (kecuali perkhidmatan penting) akan ditutup.

"Kami perlu memaklumkan kepada anak guam berkenaan perkara ini (kes mahkamah) ekoran perintah tersebut," katanya.

Rozina memaklumkan pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada Ketua Pendaftar berkenaan sama ada mahkamah di seluruh negara juga turut ditutup bermula esok (18 Mac) sehingga 31 Mac ini dan terlebih dahulu mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry menyelesaikan pemeriksaan utama terhadap saksi kelima iaitu bekas Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Habibah Suleiman sebelum membenarkan penangguhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu di awal prosiding, Rozina sempat bertanyakan mengenai kesihatan Bung Moktar berikutan Pengerusi UMNO Sabah berkenaan memakai topeng muka.

Rozina: Anda tak sihat?

Bung: (Berseloroh) Koronavirus.

Rozina: Kalau betul, sudah lama saya panggil ambulans.

Ia mencetuskan suasana ceria dan mengundang ketawa bagi semua yang hadir ke perbicaraan hari ini.

Pemeriksaan singkat terhadap saksi dilakukan oleh Mohamad Fadhly sebelum Rozina menangguhkan perbicaraan sehingga akhir Mac ini.

Sambung bicara kemudian ditetapkan pada 10,17, 28 dan 29 April, 12 hingga 15 Mei, 10, 20, 27 hingga 29 Julai, 10 hingga 12 Ogos, 24 hingga 27 Ogos, dan 1 hingga 3 September depan.

Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi tuduhan pertama, Bung Moktar didakwa sebagai ejen kepada FELCRA iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad (ketika itu) memperoleh suapan RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Zizie Izetti.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati jam 12.30 tengah hari, 12 Jun 2015.

Bagi tuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi tuduhan ketiga pula, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama isterinya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Bung Moktar didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(4) akta sama.

Zizie Izzeti juga didakwa pada tarikh sama atas pertuduhan bersubahat dalam tiga pertuduhan dihadapi Bung Moktar yang mana jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali jumlah nilai suapan yang menjadi perkara hal kesalahan itu atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.