DUN Sabah dijangka bubar selepas sambutan Hari Malaysia - Mohamad

Datuk Seri Mohamad Hassan
Datuk Seri Mohamad Hassan
A
A
A

PUTATAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkemungkinan dibubarkan selepas sambutan Hari Malaysia yang dijadual berlangsung di negeri ini pada September depan.

Beliau berkata, tarikh itu dilihat sesuai memandangkan tempoh penggal semasa kerajaan negeri sudah hampir matang, selain sambutan Hari Malaysia yang sinonim dengan perpaduan dan kebersamaan dapat menjadi suasana yang harmoni untuk permulaan kepada proses pembubaran DUN.

"Saya rasa selepas Hari Malaysia Itu hari yang terbaik untuk kerajaan Negeri Sabah membubarkan DUN kerana tempohnya pun hampir matang.

"Jadi ambil kesempatan ini keadaan yang ceria dengan sambutan Hari Malaysia itu diadakan di Sabah, ia merupakan suatu majlis yang baik bagi negeri Sabah dan kerajaan boleh memikirkan untuk membubarkan DUN selepas itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan di sini pada Sabtu.

Menteri Luar itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya sebelum itu mengenai kemungkinan DUN Sabah dibubarkan selepas sambutan Hari Malaysia.

Bagaimanapun, Mohamad menolak dakwaan bahawa pembubaran itu ada kaitan dengan isu tuntutan 40 peratus hasil yang menjadi hak Sabah, di mana cadangan penyelesaiannya dijadual dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan MA63 pada September ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut bukan berkait dengan pilihan raya, sebaliknya merupakan isu pentadbiran yang perlu ditangani oleh mana-mana kerajaan yang diberi mandat.

"Siapa sahaja yang akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti, mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan hak rakyat Sabah. 

"Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Hak rakyat Sabah mesti diperjuangkan oleh sesiapa sahaja yang mentadbir negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN), pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk penubuhan jawatankuasa khas bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah memberi pelbagai hasil kepada Sabah, khususnya dalam hal ehwal tenaga.

"Semasa BN dulu, kita dah mulakan. Banyak perkara telah diserahkan kepada kerajaan negeri, hanya dua atau tiga perkara lagi yang belum dimuktamadkan kerana impaknya besar kepada negara, contohnya dari segi royalti. 

"Jadi, kita perlu rundingan," katanya.

Beliau menegaskan perjuangan mempertahankan hak rakyat Sabah bukan milik mana-mana individu atau parti tertentu, sebaliknya tanggungjawab bersama semua pihak yang diberi mandat memimpin negeri.

Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini memaklumkan bahawa cadangan penyelesaian berkaitan tuntutan hasil negeri Sabah sebanyak 40 peratus akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Tindakan MA63 yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!