Tikam anggota polis: Suspek bertindak agresif kerana bawa dadah

KUALA LUMPUR - Individu yang bertindak menikam Koperal Mohd Nadzri Sudiman, 35, di Pasar Pudu, Jalan Yew, Khamis lalu dipercayai membawa dadah ketika ditahan untuk pemeriksaan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek bertindak agresif dipercayai mengelak untuk diperiksa anggota itu.
"Semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki 14 rekod berkaitan dadah dan jenayah.
"Mangsa (anggota terbabit) telah menahan suspek untuk pemeriksaan, kita percaya suspek bertindak menikam mangsa kerana suspek membawa dadah ketika ditahan," katanya ketika ditemui selepas melawat anggota Balai Polis Pudu itu di Hospital Canselor Tunku Muhkriz, Cheras pada Sabtu.
Turut hadir, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad; Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentabiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail; Ketua Pollis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.
Katanya, Mohd Nadzri kini berada dalam keadaan stabil.
"Bagaimanapun dia masih lemah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik (CICU) selepas menjalani pembedahan.
"Dia masih dalam pemantauan doktor, Insha ALLAH, kalau ikut doktor dalam masa seminggu atau dua minggu ini dia akan pulih," katanya.
Ujar Ayob Khan, anggota terbabit tidak menggunakan kamera badan namun dia sedang melakukan rondaan jenayah bersama rakan setugasnya ketika kejadian.
"Pemakaian kamera badan amat penting bagi penugasan, kita sudah minta supaya semua anggota terutama Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Unit Kereta Peronda (MPV) dibekalkan dengan alat ini.
"Setakat ini, jumlah keseluruhan yang kita pakai di seluruh negara sebanyak 7,648 unit untuk fasa satu dan untuk fasa dua, 10,000 unit lagi akan diperoleh," katanya.
Terdahulu, media melaporkan suspek yang bertindak menikam anggota polis Khamis lalu dipercayai berada bawah pengaruh dadah.
Mohamed Usuf dilaporkan berkata, pemeriksaan terhadap suspek turut menemukan dadah jenis heroin.
Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307, Seksyen 386 serta Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

