Suspek tikam polis positif dadah, miliki 14 rekod lampau

KUALA LUMPUR - Suspek yang menikam anggota polis ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu di sini dipercayai di bawah pengaruh dadah.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya turut menemukan dadah jenis heroin pada suspek.
“Suspek yang positif dadah jenis heroin kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambah Mohamed Usuf, keadaan anggota polis terbabit kini berada dalam keadaan stabil namun masih pemantauan.
Katanya, anggota berkenaan akan dipindahkan ke wad biasa dalam masa terdekat ini.
Dalam kejadian pada Khamis, polis menahan suspek berusia 56 tahun selepas menikam mangsa menggunakan pisau sehingga parah semasa menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di lokasi terbabit.
Polis telah merampas sebilah pisau berukuran anggaran 21.5 sentimeter dan tiga peket plastik lut sinar berisi serbuk serta ketulan berwarna kekuningan yang disyaki dadah.
Anggota polis terbabit telah dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
