Hantar basikal guna dron, selamatkan askar cedera

KYIV – Seorang askar Ukraine yang cedera dan terperangkap di medan perang selama lima hari akhirnya berjaya diselamatkan dengan menggunakan dron.
Askar yang dikenali dengan nama panggilan ‘Tanker’ itu tidak dapat berundur selepas kedudukannya diserang sehingga mengorbankan tiga rakan seperjuangannya.
Walaupun cedera, beliau terus bertahan seorang diri.
Rakaman yang dikongsi Briged Rubizh menunjukkan sebuah dron menurunkan basikal elektrik kepada askar berkenaan.
Ketua Staf Briged, Mykola Gritsenko berkata, misi menyelamat berdepan cabaran besar kerana kawasan tersebut dipenuhi musuh dan mustahil untuk membawa keluar askar itu menggunakan kenderaan.
“Beliau perlu berjalan 1.5 kilometer ke kedudukan terdekat, tetapi dengan kecederaan pada anggota, itu tidak mungkin dapat dilakukan,” katanya.
Briged berkenaan kemudian mengambil keputusan menghantar basikal elektrik menggunakan dron.
Dua percubaan awal gagal apabila dron pertama ditembak jatuh, manakala dron kedua tidak mampu menampung beban.
Percubaan ketiga akhirnya berjaya, membolehkan ‘Tanker’ menunggang sejauh 400 meter sebelum terkena periuk api kawalan jauh dan tercampak.
Walaupun cedera parah, beliau merangkak sejauh 200 meter lagi sebelum bertemu pasukannya dan ditarik ke tempat selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

