Trump arah 2 kapal selam nuklear digerakkan susulan ancaman Medvedev

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan dua kapal selam nuklear ditempatkan di kawasan strategik susulan kenyataan sangat provokatif yang dibuat oleh bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev.
Trump berkata, langkah itu diambil sebagai tindakan berjaga-jaga sekiranya kenyataan berkenaan membawa kepada kesan yang tidak diingini.
“Berdasarkan kenyataan sangat provokatif bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, saya telah mengarahkan dua kapal selam nuklear untuk diposisikan di kawasan bersesuaian,” tulis Trump dalam hantaran di platform Truth Social pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi penempatan kapal selam itu sejajar dengan protokol keselamatan tentera AS, selain tidak menjelaskan sama ada ia merujuk kepada kapal selam berkuasa nuklear atau bersenjata nuklear.
Trump menjelaskan keputusan itu dibuat selepas ancaman yang dikeluarkan oleh Medvedev terhadap AS berhubung ultimatum terbaharu kepada Moscow supaya bersetuju dengan gencatan senjata di Ukraine.
“Ancaman dibuat dan kami rasa ia tidak sesuai. Saya perlu berhati-hati demi keselamatan rakyat kita,” katanya.
Setakat ini, Kremlin belum mengeluarkan sebarang kenyataan, namun pasaran saham Moscow dilaporkan menjunam sejurus selepas kenyataan Trump itu.
Ketegangan antara Trump dan Medvedev memuncak selepas kedua-duanya saling melancarkan serangan peribadi di media sosial, termasuk selepas Trump menetapkan tarikh akhir baharu, 8 Ogos untuk Presiden Rusia, Vladimir Putin menamatkan perang di Ukraine.
Medvedev yang memimpin Rusia dari 2008 hingga 2012 sebelum ini menyifatkan ultimatum Trump sebagai langkah ke arah perang serta menuduh Presiden AS itu bermain 'permainan ultimatum' dengan Moscow.
Rusia dan AS merupakan dua negara pemilik senjata nuklear terbesar di dunia termasuk armada kapal selam nuklear yang berperanan penting dalam strategi pertahanan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

