Trump arah pecat Ketua Statistik Buruh dakwa manipulasi data

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan pemecatan Pesuruhjaya Biro Statistik Buruh (BLS), Erika McEntarfer dengan menuduh pegawai itu memanipulasi data untuk tujuan politik, lapor Xinhua.
"Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa "angka pekerjaan” negara kita dihasilkan oleh seorang lantikan Biden, Dr Erika McEntarfer, Pesuruhjaya Statistik Buruh yang memalsukan angka pekerjaan sebelum pilihan raya bagi meningkatkan peluang kemenangan Kamala (Harris),” kata Trump dalam satu hantaran di Truth Social tanpa mengemukakan sebarang bukti.
"Kita perlukan angka pekerjaan yang tepat. Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk memecat lantikan politik Biden ini, SERTA-MERTA... Angka penting seperti ini mesti adil dan tepat, ia tidak boleh dimanipulasi untuk tujuan politik,” katanya.
Pengumuman Trump itu dibuat hanya beberapa jam selepas BLS mengeluarkan laporan pekerjaan bagi Julai, yang menunjukkan hanya 73,000 pekerjaan bukan perladangan ditambah - jauh lebih rendah daripada jangkaan - serta semakan penurunan lebih 250,000 pekerjaan bagi Mei dan Jun secara keseluruhan.
Pada Julai 2023, ketika itu Presiden AS Joe Biden telah memilih McEntarfer untuk memegang jawatan berkenaan, dan Senat mengesahkan pelantikannya pada Januari 2024 dengan sokongan dwipartisan yang kukuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
