Pendidikan prasekolah perlu menyeronokkan

PUTRAJAYA – Hasrat kerajaan mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun perlu disertai dengan pelaksanaan penambahbaikan terhadap silibus dan pendekatan pengajaran agar lebih menyeronokkan buat kanak-kanak.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pendidikan prasekolah bukanlah lanjutan kepada sekolah rendah yang berorientasikan peperiksaan dan hafalan, sebaliknya perlu difahami sebagai ruang awal pendedahan sosial yang berasaskan permainan.
“Prasekolah ini bukan bermaksud seperti sekolah. Kita mungkin faham begitu kalau tengok prasekolah dalam negara macam sekolah Darjah 1.
“Tetapi yang sebenarnya prasekolah ini adalah tempat bukan sekolah iaitu belum masuk alam sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Anuar, murid prasekolah akan hadir dan bermain dengan teratur mengikut perancangan guru.
“Cikgu sudah rancang apakah permainan hari itu dan apakah perkara yang pelajar akan dapat selepas bermain.
“Anak-anak ni tidak tahu pun objektif cikgu, mereka hanya bermain tetapi guru dapat mengetahui tahap penguasaan murid contohnya beberapa patah perkataan,” jelasnya.
Justeru itu, beliau berkata, silibus prasekolah perlu ditambah baik agar lebih menyeronokkan dan tidak terlalu rigid, selari dengan perkembangan semula jadi kanak-kanak yang belajar melalui aktiviti dan persekitaran, bukan hafalan atau peperiksaan.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini sedang bergerak ke arah mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun, sebagai langkah memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak dan meningkatkan keberhasilan sistem pendidikan negara.
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa usaha tersebut akan disusuli dengan penyediaan lebih banyak kemudahan prasekolah terutama di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), terutamanya di kawasan desa.
Dalam pada itu, Anuar turut menekankan bahawa latihan guru prasekolah mesti dipertingkatkan dan gaji mereka dinaikkan bagi memastikan pendidikan awal yang berkualiti dapat diberikan kepada semua.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan usaha kerajaan untuk mewajibkan prasekolah adalah langkah tepat, selaras dengan amalan negara maju yang telah lama melaksanakannya.
Antara faktor sokongan terhadap dasar ini termasuk keperluan menangani keciciran kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) yang menurutnya tidak seharusnya bermula di Tahun 1 kerana murid ketika itu sudah terikat dengan silibus.
“Murid yang tidak ke prasekolah akan terus ketinggalan. Sebab tu prasekolah penting supaya anak-anak bila masuk ke Tahun 1, mereka berada di garisan yang sama dengan semua kawan-kawan lain,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan prasekolah sebagai tempat pengesanan awal masalah pembelajaran seperti autisme, disleksia dan kelewatan kognitif.
Guru-guru prasekolah yang terlatih berupaya melaksanakan intervensi awal sebelum murid melangkah ke Tahun 1.
Apa yang lebih penting, beliau menyifatkan prasekolah sebagai alat pemantauan sosial bagi mengesan tanda-tanda penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak sejak awal usia, sekaligus melindungi mereka daripada risiko bahaya di rumah.
“Kalau anak tidak datang sekolah beberapa hari, guru akan hubungi ibu bapa. Kalau datang, guru boleh lihat keadaan anak-anak itu.
“Jadi prasekolah ni baik sebagai satu mekanisme melindungi dan memastikan anak-anak berada dalam keadaan baik,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

