Prasekolah bermula umur 5 tahun dilaksanakan dalam tempoh RMK13 - Fadhlina

KOTA BHARU - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dari sudut teknikal sebelum melaksanakan pendidikan prasekolah yang akan diwajibkan pada umur lima tahun.
Menurut beliau, ia sudah selesai di peringkat dasar dan akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Soal dasar ianya sudah selesai dan kita cuma perlu melihat soal operasi secara khusus bagi memastikan apabila ia dilaksanakan dasar ini boleh berjalan dengan baik.
"Kita ada masa untuk melaksanakannya dan untuk para media, kita akan mengadakan taklimat khas bagi menjelaskan aspek pendidikan berhubung pembentangan tersebut," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester Satu 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina memberitahu pihaknya nanti akan mengumumkan sama ada turut berlaku pergerakan usia iaitu Tahun Satu bermula pada usia enam tahun dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 16 tahun.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bagi meningkatkan keberhasilan pendidikan negara.
Pada masa sama lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan KPM akan disediakan terutama di kawasan desa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

