Warga emas maut, suami cedera kereta bertembung bas

Video tular bas masuk laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dinaiki pasangan warga emas menyebabkan penumpang wanita maut.
Video tular bas masuk laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dinaiki pasangan warga emas menyebabkan penumpang wanita maut.
A
A
A

JEMPOL - Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas yang memasuki laluan bertentangan di Kilometer 9, Jalan Bahau–Rompin pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, wanita berusia 61 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala suaminya yang berusia 64 tahun mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 65 tahun dari arah Rompin ke Bahau telah memasuki laluan bertentangan.

Keadaan kereta mangsa yang terlibat kemalangan.
Keadaan kereta mangsa yang terlibat kemalangan.

“Pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang dinaiki pasangan suami isteri itu datang dari arah bertentangan.

“Pemandu kereta cuba mengelak ke kanan namun tidak sempat, menyebabkan perlanggaran berlaku di bahagian hadapan kiri kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 14 saat di media sosial yang menunjukkan bas berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki pasangan warga emas tersebut.

Menurut beliau, bas berkenaan membawa lima penumpang, namun kesemua mereka termasuk pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Pemandu bas telah ditahan bagi membantu siasatan. Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan trafik.

“Selain itu, keputusan ujian air kencing juga adalah negatif,” tambah beliau.

Katanya, polis kini sedang mengesan saksi kejadian dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-234 8669 bagi membantu siasatan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!