Terjatuh ketika memotong, warga emas maut digilis lori

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut digilis lori selepas terjatuh ketika cuba memotong kenderaan berat itu dalam satu nahas di Felda Ulu Tebrau pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.30 pagi ketika lelaki berusia 80 tahun itu dalam perjalanan dari Felda Ulu Tebrau menuju ke pekan Ulu Tiram.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal mangsa bergerak seiring dengan lori terbabit dan mangsa cuba memotong dari sebelah kiri.
“Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh ke bawah lori dan digilis. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Mohd Sohaimi mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan sikap sabar serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Orang ramai juga hendaklah sentiasa berhemah, berjaga-jaga serta serius ketika berada di jalan raya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
