Penganggur dijatuhi hukum mati bunuh kanak-kanak berusia tiga tahun

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang penganggur selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sebelum membuang mayat mangsa di kawasan hutan berhampiran Gunung Raya, Langkawi, enam tahun lalu.
Tertuduh, Ramlan Abdul Rashid, 43, disabitkan atas pertuduhan membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah antara jam 9 pagi hingga 10 pagi pada 23 Februari 2019 di kuarters Hospital Langkawi, Kuah.
Hakim Evawani Farisyta Mohammad menjatuhkan hukuman itu setelah berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan, walaupun pakar patologi forensik tidak dapat menentukan secara pasti punca kematian mangsa memandangkan hanya tengkorak dan dua batang gigi ditemukan di lokasi mayatnya dibuang.
“Mahkamah mendapati tertuduh bertanggungjawab terhadap kematian mangsa, termasuk melalui bukti sejarah penderaan fizikal, tindakan memberi makanan bercampur cili, selain menjadi individu terakhir yang dilihat bersama mangsa.
“Tertuduh juga membawa pihak polis ke lokasi penemuan rangka kanak-kanak tersebut,” katanya dalam penghakiman bertulis bertarikh 31 Julai menerusi laman web mahkamah, pada Jumaat.
Hakim Evawani turut menyatakan bahawa tertuduh telah membohongi ibu mangsa berkenaan keberadaan anaknya dan bertindak melarikan diri selepas laporan polis dibuat.
“Mangsa merupakan seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdosa dan telah diletakkan di bawah jagaan tertuduh oleh ibunya. Mahkamah juga berpuas hati bahawa mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul dan didera secara berterusan.
“Tertuduh tidak menunjukkan sebarang perikemanusiaan apabila membuang mayat mangsa ke dalam hutan tanpa menguruskan jenazah dengan sewajarnya mengikut tuntutan agama,” katanya lagi.
Mahkamah turut merekodkan bahawa tertuduh merupakan seorang oportunis yang mengambil kesempatan atas kelemahan wanita dan tidak menunjukkan rasa kesal atau insaf sepanjang perbicaraan berlangsung.
Berdasarkan fakta kes, pada November 2018, ibu mangsa bersama anak perempuannya telah mengikut tertuduh ke kuarters Hospital Langkawi dan menetap di situ selama kira-kira dua bulan.
Sepanjang tempoh tersebut, ibu mangsa bekerja di sebuah kedai makan dan meninggalkan anaknya di bawah jagaan tertuduh.
Mangsa dilaporkan hilang selepas ibunya gagal menemui anaknya ketika mengunjungi kediaman tertuduh pada Februari 2019.
Tertuduh memberi alasan bahawa kanak-kanak itu telah diserahkan kepada pihak lain, namun enggan mendedahkan identiti atau lokasi individu tersebut.
Hasil siasatan lanjut, tertuduh akhirnya membawa pihak polis dan pakar forensik ke kawasan hutan di Gunung Raya, di mana tengkorak dan dua batang gigi dipercayai milik mangsa ditemui.
Isteri tertuduh yang merupakan seorang jururawat dalam keterangannya menyatakan bahawa pada malam kejadian, beliau terdengar tangisan mangsa sebelum tiba-tiba senyap.
Apabila memasuki bilik, mangsa didapati dalam keadaan bogel, tidak sedarkan diri dan kaku di atas tikar.
Isteri tertuduh turut memaklumkan terdapat kesan melecur dipercayai akibat puntung rokok pada paha mangsa serta lebam di kedua-dua belah kaki kanak-kanak itu.
Tertuduh dalam pembelaannya mendakwa bahawa mangsa mengalami sawan dan kematiannya berpunca daripada demam serta kesan sampingan ubat muntah.
Namun, mahkamah mendapati pembelaan tersebut tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan menolaknya.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rizal Fadzil, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Ai Cha Ran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

