Ular tedung mati digigit kanak-kanak berusia setahun

PATNA - Seekor ular tedung mati digigit kanak-kanak berusia setahun dalam kejadian menggemparkan dan jarang berlaku.
Budak lelaki dikenali sebagai Govinda itu dipercayai menyangka reptilia berbiasa sepanjang kira-kira semeter ialah alat mainan.
Menurut laporan media, ular tedung itu memasuki rumah keluarga Govinda di perkampungan Mohachchhi Bankatwa di bawah blok Majhaulia di Bihar, India pada ketika insiden pada Jumaat lalu.
"Neneknya yang sedang mengumpul kayu api terlihat reptilia tersebut dan cuba menghalaunya, namun Govinda bertindak lebih pantas dengan menangkap dan menggigit ular itu hingga terputus dua.
"Kanak-kanak berkenaan kemudiannya jatuh pengsan," jelas laporan itu lagi.
Govinda dikejarkan ke pusat kesihatan berhampiran sebelum dipindahkan ke kemudahan perubatan kerajaan untuk rawatan susulan.
Pemeriksaan ke atasnya menunjukkan budak itu tidak mengalami gejala keracunan dan kekal stabil di bawah pemantauan doktor. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

