Penurunan tarif AS tak jejas standard halal - Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bercakap pada sidang akhbar berkaitan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) di Menara MITI hari ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bercakap pada sidang akhbar berkaitan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) di Menara MITI hari ini.
A
A
A

 

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dakwaan bahawa kerajaan menjejaskan standard halal semata-mata untuk memenuhi permintaan Amerika Syarikat (AS) bagi mengurangkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia adalah tidak benar

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak akan berganjak daripada pendirian bahawa pematuhan syariah dan pengesahan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) adalah pra syarat ke atas import daging dari semua negara, bukan hanya AS.

Jelas beliau, apa yang telah dipersetujui AS ialah untuk memudah cara proses pengimportan daging halal AS ke Malaysia.

"Proses ini akan dilaksanakan oleh badan pengesahan halal AS yang diiktiraf oleh Jakim.

"Mereka masih perlu dapatkan pengesahan Jakim...kalau tak ikut standard Jakim, kita tidak akan benarkan sama sekali," katanya pada sidang media berkaitan tarif AS di Menara MITI pada Jumaat.

Beliau menjawab dakwaan sebuah akhbar yang melaporkan Malaysia bersedia untuk mengiktiraf pensijilan halal AS bagi beberapa produk, termasuk farmaseutikal yang berkemungkinan akan menghapuskan keperluan produk AS untuk mendapatkan pengesahan halal daripada Jakim.

Sehubungan itu Tengku Zafrul berharap, tiada pihak yang memberikan gambaran yang tidak tepat atau memutarbelitkan fakta kerana dakwaan tersebut merupakan perkara sensitif.

Dalam masa sama jelas beliau, terdapat beberapa penambahbaikan lain dalam mencapai persetujuan dengan AS mengenai perkara halal.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk memperkemas keperluan pendaftaran halal dan memudahkan import makanan dan produk pertanian AS dan pelaksanaan penyerantauan di AS untuk penyakit berkaitan haiwan.

"Selain itu, menarik balik larangan import sorgum dan beras serta mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap hak buruh dan perlindungan alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menafikan dakwaan bahawa Malaysia wajib membekalkan nadir bumi secara eksklusif kepada AS.

"Ini tidak benar. Dalam kenyataan bersama, tiada sebarang perjanjian yang menetapkan Malaysia perlu membekalkan nadir bumi secara eksklusif kepada mana-mana negara sama ada kepada AS, China, atau negara jiran lain.

"Malah, tiada permintaan pun daripada pihak AS mengenai perkara itu.

"Oleh itu, dakwaan bahawa Malaysia akan hanya membekalkan nadir bumi kepada AS adalah tidak berasas dan spekulasi semata-mata," tegasnya.

Sebelum ini akbar berkenaan melaporkan, Malaysia bersedia untuk membekalkan unsur nadir bumi kepada AS dengan memanfaatkan simpanannya yang melebihi 16 juta tan bernilai dianggarkan RM1 trilion.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!