Apa yang perlu anda tahu tentang krisis Kemboja-Thailand

KETEGANGAN yang sedang berlaku di sempadan Kemboja–Thailand sejak beberapa minggu lalu telah mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa, khususnya negara serantau ASEAN.
Namun, persoalan utama yang timbul dalam kalangan rakyat Malaysia ialah, apakah sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan krisis antara kedua-dua negara jiran itu memuncak?
Krisis ini tercetus akibat pertikaian sempadan lama antara kedua-dua negara yang melibatkan kawasan bersejarah dan kuil purba seperti Preah Vihear, Ta Muen Thom dan Ta Krabey, yang menjadi rebutan sejak lebih 100 tahun lalu.
Isu ini menjadi lebih rumit berikutan semakan semula peta sempadan yang berbeza antara kedua-dua negara.
Thailand menggunakan peta berdasarkan sempadan semula jadi, manakala Kemboja berpegang kepada peta era penjajahan Perancis yang diiktiraf oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 1962.
Walaupun keputusan ICJ menyebelahi Kemboja, Thailand berpendapat beberapa kawasan berhampiran kuil itu tidak termasuk dalam keputusan asal.
Situasi ini mencetuskan tindakan saling menduduki dan pembinaan infrastruktur ketenteraan di kawasan sempadan yang statusnya tidak jelas.
Pada Jun dan Julai tahun ini, Kemboja dilaporkan mula memasang kawat duri dan mendirikan pos kawalan tentera baharu di kawasan sempadan berhampiran Surin dan Si Sa Ket di Thailand, disusuli penggunaan dron pemantauan dan penempatan roket jarak sederhana.
Sebagai tindak balas, Thailand menempatkan jet pejuang F-16, kereta kebal dan pasukan artileri di sepanjang sempadan.
Insiden tembak-menembak yang dilaporkan berlaku pada awal pagi 24 Julai turut memburukkan lagi keadaan.
Kemboja kemudiannya membalas dengan melepaskan roket BM-21 dan tembakan artileri, menyebabkan korban jiwa dalam kalangan orang awam di Thailand.
Sekurang-kurangnya 12 maut dan lebih 14 cedera, termasuk anggota keselamatan.
Kemboja pula menuduh Thailand melanggar wilayah berdaulat mereka dan menyerang kawasan berhampiran kuil purba, sekali gus menyebabkan kerosakan kepada tapak Warisan Dunia.
Thailand menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa pihaknya hanya bertindak mempertahankan wilayah sendiri.
Lebih memburukkan keadaan, ketidakstabilan politik di Thailand menyumbang kepada kelemahan dalam pengurusan krisis.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra digantung tugas susulan siasatan terhadap skandal politik, menyebabkan kerajaan interim kini berdepan tekanan dalaman dan luaran.
Dalam pada itu, kerajaan Kemboja yang diketuai oleh Perdana Menteri Hun Manet, anak kepada bekas Perdana Menteri Hun Sen, mengambil pendekatan lebih agresif dari segi diplomasi dan pertahanan, termasuk menghantar nota bantahan kepada Majlis Keselamatan PBB dan ASEAN.
Kesan kemanusiaan juga semakin ketara apabila puluhan ribu penduduk Thai diarahkan berpindah, manakala sekolah dan hospital ditutup di kawasan terjejas.
Di Kemboja, rakyat mula bersiap sedia menghadapi kemungkinan konflik jangka panjang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan negara jiran termasuk Malaysia dan Indonesia telah menyeru kedua-dua pihak menamatkan konflik secara diplomatik. Namun, sehingga kini belum ada rundingan rasmi yang dimuktamadkan.
Apa yang berlaku di Kemboja bukan sekadar isu sempadan, tetapi melibatkan soal kedaulatan, sejarah dan maruah nasional kedua-dua negara.
Selagi tiada kesepakatan yang jelas, risiko konflik bersenjata akan terus menghantui rantau ini.

Fakta penting mengenai Kuil Preah Vihear
Terletak di puncak Pergunungan Dangrek, di sempadan antara wilayah Preah Vihear (Kemboja) dan Si Sa Ket (Thailand).
Merupakan kuil Hindu abad ke-9 hingga ke-11, dibina untuk memuliakan dewa Shiva.
Pada tahun 1962, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa kuil itu milik Kemboja, namun kawasan sekitar kuil masih menjadi pertikaian hingga ke hari ini.
Pada tahun 2008, kemelut meningkat apabila Kemboja mendaftarkan Preah Vihear sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, mencetuskan bantahan keras daripada Thailand.
Konflik terbaru pada tahun 2025 melibatkan kawasan berhampiran kuil ini, termasuk Ta Muen Thom dan Ta Krabey, dua lagi kuil purba yang bersempadan.
Apa yang berlaku sekarang?
- Kemboja mula memasang kawat duri, mendirikan pos tentera dan menggerakkan roket BM-21 di kawasan berhampiran sempadan pada Jun–Julai 2025.
- Thailand menempatkan F-16, kereta kebal dan artileri sebagai tindak balas di bahagian selatan sempadannya.
- Insiden tembakan tercetus pada 24 Julai, dengan roket dan artileri dilepaskan oleh kedua-dua pihak, menyebabkan kematian dalam kalangan orang awam dan tentera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

