Karangkraf bakal jadi tarikan pelancongan industri penerbitan

Akmal Eirfan (dua dari kanan) menerangkan tentang penerbitan dan percetakan al-Quran kepada Aziahtul Sakdiah (dua dari kiri) semasa lawatan tapak di Karangkraf pada Jumaat.
Akmal Eirfan (dua dari kanan) menerangkan tentang penerbitan dan percetakan al-Quran kepada Aziahtul Sakdiah (dua dari kiri) semasa lawatan tapak di Karangkraf pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM – Karangkraf bakal dijadikan lokasi pelancongan industri penerbitan pertama di Shah Alam tahun ini dalam usaha mengetengahkan segmen pelancongan berasaskan ilmu, teknologi dan kreativiti.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Kajian Panduan Pelaksanaan Pelancongan Negeri Selangor yang dilaksanakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) dengan kerjasama PEERS Consult (M) Sdn. Bhd. dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penolong Pengarah Seksyen Kebudayaan dan Pelancongan Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Aziahtul Sakdiah Mustafa berkata, Karangkraf merupakan organisasi pertama yang diiktiraf berpotensi untuk dimasukkan dalam segmen pelancongan industri pada tahun ini.

Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (berdiri, lima dari kiri) menerima kunjungan Aziahtul Sakdiah (duduk, tiga dari kiri) dan Akmal Eirfan (berdiri, dua dari kiri) semasa lawatan tapak bersama PLANMalaysia Selangor, PEERS Consult dan MBSA di Karangkraf pada Jumaat.
Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (berdiri, lima dari kiri) menerima kunjungan Aziahtul Sakdiah (duduk, tiga dari kiri) dan Akmal Eirfan (berdiri, dua dari kiri) semasa lawatan tapak bersama PLANMalaysia Selangor, PEERS Consult dan MBSA di Karangkraf pada Jumaat.

“Karangkraf bukan sekadar syarikat penerbitan, malah menjadi simbol penting kepada dunia percetakan dan ilmu.

“Syarikat ini menawarkan pengalaman pelancongan yang unik kerana pengunjung dapat melihat sendiri proses penerbitan buku dan al-Quran secara manual serta digital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak bersama PLANMalaysia Selangor, PEERS Consult dan MBSA di Karangkraf pada Jumaat.

Aziahtul Sakdiah memberitahu, teknologi percetakan tradisional sangat berharga, namun semakin jarang ditemui dan perlu dikekalkan sebagai warisan untuk generasi akan datang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, MBSA akan terus memberi sokongan padu terhadap usaha mempromosikan Karangkraf sebagai destinasi pelancongan.

“MBSA akan membantu dari aspek promosi seperti paparan di papan LED digital, media sosial rasmi dan akan dimasukkan ke dalam Pelan Tindakan Pelancongan MBSA bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Salah satu tarikan utama di Karangkraf ialah peluang untuk menyaksikan secara langsung rakaman bacaan al-Quran yang biasanya hanya dilihat di kaca televisyen. Pengunjung juga dapat melihat sendiri proses penghasilan kandungan tersebut dari belakang tabir,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi berkata, Karangkraf bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa pelancongan negeri dalam usaha menjadikan lokasi itu sebagai destinasi pelancongan industri penerbitan yang berpotensi di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya yakin Karangkraf mampu menjadi tarikan pelancongan kerana menawarkan pengalaman mendekati dunia penerbitan dan percetakan.

“Kami boleh bekerjasama dengan pasukan pelancongan Selangor untuk menjadikan Karangkraf sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong.

“Kami percaya Karangkraf mempunyai nilai industri pelancongan yang tersendiri, terutama dalam memperkenalkan proses penerbitan, percetakan dan program berkaitan al-Quran yang dijalankan secara konsisten,” katanya.

Menurutnya, Karangkraf menawarkan ruang pembelajaran secara langsung kepada pengunjung yang ingin mengenali lebih dekat perjalanan dunia percetakan dan penerbitan.

“Pengunjung boleh melihat sendiri proses dari awal hingga akhir tentang bagaimana bahan diterbitkan dan dicetak.

“Selain itu, mereka juga berpeluang menyertai pelbagai program seperti Malaysia #QuranHour, karnival komuniti dan program anjuran Sinar Harian yang berlangsung dari masa ke masa.

“Ini bukan sekadar pelancongan biasa tetapi satu bentuk pengalaman pendidikan dan inspirasi,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!