RMK13: Ahmad Amzad kecewa projek LPT3 tidak termasuk dalam perancangan

SHAH ALAM - Ketiadaan projek Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) dalam perbentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mengecewakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang melihat agenda itu sebagai keperluan kritikal bagi penduduk Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan.
Beliau menyatakan rasa kesal apabila projek LPT3 yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke negeri Kelantan tidak tersenarai dalam senarai projek infrastruktur utama yang diumumkan kerajaan.
"Ketika kerajaan menyenaraikan projek infrastruktur yang utama termasuk pelbagai lebuh raya, saya amat berharap agar LPT3 yang menghubungkan Gemuroh Terengganu ke Kelantan dapat diumumkan.
"Ia keperluan mendesak yang menyaksikan perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur (KL) sentiasa terpaksa hadapi mimpi ngeri kesesakan sebelum dapat sampai ke Gemuroh untuk ke KL setiap kali musim puncak perayaaan terutamanya.
"LPT kini menjadi pilihan ramai berbanding melalui jalan Gua Musang. Ia pernah diumumkan akan dilaksanakan tapi nampaknya tiada dalam pembentangan tadi. Jika begitu tiada rezeki untuk LPT3 dalam tempoh lima tahun ke hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM611 bilion bagi menjayakan RMK13 sepanjang tempoh 2026 hingga 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM430 bilion.
Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang sebanyak RM120 bilion manakala sokongan pihak swasta melalui pelaksanaan projek secara perkongsian awam-swasta (PPP) pula diunjurkan berjumlah RM61 bilion.
Tambah Ahmad Amzad, walaupun sektor pertanian ditekankan untuk kedua-dua negeri, pendekatan yang terlalu tertumpu kepada sektor itu sahaja tidak mencukupi bagi membawa Terengganu dan Kelantan keluar daripada kelompok negeri yang menyumbang kecil kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Beliau turut mempersoal ketiadaan butiran lanjut dalam RMK13 berhubung beberapa projek strategik yang pernah diumumkan sebelum ini, termasuk cadangan menjadikan Terengganu sebagai hab tenaga boleh diperbaharui seperti yang pernah diumumkan Anwar.
"Terengganu, Kelantan beberapa kali difokuskan dengan soal pertanian. Betul. Pertanian adalah nadi penting sekuriti makanan negara.
"Tetapi dalam memacu negeri supaya keluar dari kelompok negeri yang ketinggalan dalam menyumbang kepada KDNK negara, fokus sektor berimpak tinggi yang tinggi potensi pendapatan, berteknologi yang merancang pelaburan perlu diberikan inisiatif lebih jelas.
"Sepatutnya hub tenaga boleh diperbaharui yang sebelum ini diumumkan Anwar untuk Terengganu ditunjukkan langkah-langkahnya dalam RMK13," katanya,
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh soal kepentingan strategik Pelabuhan Kemaman yang berpotensi menjadi kawasan pertumbuhan baharu perindustrian apabila disambungkan dengan Spurline Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), namun tiada penjelasan lanjut diberikan dalam dokumen perancangan negara tersebut.
Ahmad Amzad turut kecewa apabila tiada penjelasan menyeluruh mengenai inisiatif Carbon Capture and Utility Storage (CCUS) walaupun teknologi tersebut dikatakan bakal menjadi pemacu pelaburan baharu yang intensif di Pantai Timur.
"Begitu juga tiada penjelasan jelas tentang bagaimana mineral nadir bumi akan diusahakan. Sektor berteknologi tinggi, berpendapatan tinggi dan berinovasi ini perlu diberi penumpuan agar ruang diberikan kepada tenaga intelektual dari kalangan rakyat Pantai Timur yang sentiasa catat kecemerlangan akedemik dapat dimanfaatkan tanpa perlu berhijrah.
"Sektor pertanian umumnya hanya beri ruang terhad kepada pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat tempatan kecuali yang dimekanisasi atau diautomasikan yang ia sangat terhad. Sektor pekerjaan bawahan atau pekerja buruh umumnya akan diisi buruh asing," katanya.
Ahmad Amzad bagaimanapun menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka dan membentangkan RMK13 sambil menyuarakan beberapa pandangan peribadi mengenai aspek penyampaian dan penggunaan bahasa dalam dokumen strategik berkenaan.
Beliau turut memuji pelbagai inisiatif, daya usaha dan ikhtiar yang digariskan dalam RMK13 dan menyifatkannya sebagai satu rangka kerja penting dalam merangka hala tuju pembangunan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Alhamdulillah saya dapat mengikuti sepenuhnya pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri bermula pukul 12 tenga hari tadi. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh kakitangan awam yang terlibat dalam penyediaan dokumen perancangan strategik lima tahun yang sangat penting untuk Malaysia ini.
"Saya menghargai pelbagai inisiatif, daya usaha, ikhtiar yang digariskan walaupun kena semak kamus Dewan Bahasa untuk faham perkataan 'prakarsa' yang diperkenalkan pula kali ini.
"Bukankah lebih mudah jika gunakan perkataan Bahasa Melayu yang mudah dan tidak pelik-pelik atau jarang digunakan? Perkataan ikhtiar, daya usaha, inisiatif lebih mudah difahami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

