Pulau Pinang sokong RMK13, sedia pacu ekonomi bernilai tinggi

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyatakan komitmen penuh dalam menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia menggembleng semua sumber serta penyertaan rakyat untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi bernilai tinggi dan memperkukuh sistem sosial berteraskan prinsip MADANI, selaras dengan Visi Penang2030.

“Intipati RMK13 yang berteraskan peralihan kepada pendigitalan, teknologi termaju serta pembangunan insan MADANI amat bertepatan dengan matlamat Penang2030 yang digagaskan sejak 2018.

“Kerajaan Pulau Pinang menyokong penuh perancangan ini dan akan memastikan segala potensi pelaburan serta pembangunan yang diumumkan memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pengiktirafan Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon Timur’ turut diperkuatkan dengan pelaksanaan pelbagai projek strategik yang berimpak tinggi kepada negeri dan negara.

“Antara projek tersebut termasuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, pembesaran Lebuhraya PLUS dari Juru ke Sungai Dua serta projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan dan kemudahan awam, malah membuka peluang pembangunan terancang serta merancakkan pertumbuhan ekonomi sekitar,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap projek naik taraf LTAPP dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang dirancang demi memastikan keterhubungan antara wilayah diperkukuh, sekali gus merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyambut baik pengumuman penaiktarafan Klinik Desa Padang Menora di Seberang Perai Utara yang telah lama ditunggu oleh penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam sektor pertanian, pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun diyakini dapat mengekalkan status Pulau Pinang sebagai negeri pengeluar purata hasil padi tertinggi di negara ini, sekali gus mengekalkan rantaian keterjaminan makanan sedia ada.

“Kita turut berharap segala pengumuman dalam RMK13 akan disusuli dengan perincian strategi pelaksanaan agar negeri-negeri dapat menyesuaikan pendekatan dengan lebih berkesan.

“Pendekatan susulan akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan bagi membolehkan kita sama-sama merealisasikan komitmen yang diumumkan demi mandat rakyat di negeri serta negara ini,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!