X

Kindly register in order to view this article
!

Cuepacs sokong usaha kerajaan laksana perintah kawalan

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik dan menyokong sepenuhnya usaha dilakukan kerajaan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara pada ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya yakin Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan semalam juga adalah amat tepat bagi mengawal penularan wabak itu demi menjaga kepentingan rakyat.

"Semua rakyat Malaysia perlu memberi sokongan dan yakin dengan apa yg dilakukan oleh kerajaan pada hari ini bagi menjaga keamanan bumi tercinta ini.

"Kurangkan pergerakan atau perjalanan yang tidak perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu Perutusan Khas malam tadi mengumumkan kerajaan perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Selain itu Adnan berkata, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat mengambil inisiatif atau langkah yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang terpaksa bertugas sepanjang tempoh perintah kawalan dilaksanakan.

"Keselamatan dan kebajikan petugas-petugas kerajaan serta ahli keluarga mereka perlu diberi perhatian terutama kepada mereka yang tetap perlu bertugas sepanjang tempoh tersebut.

"Sokongan dan kerjasama daripada orang awam/rakyat dalam memahami tugas warga penjawat awam juga diperlukan ketika negara sedang berhadapan dengan krisis seperti Covid-19,"katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan itu meliputi enam perkara termasuk penutupan sekolah, premis swasta, institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, perkhidmatan-perkhidmatan penting serta pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka akan tetap dibuka kepada orang ramai.

Dalam perkembangan sama, Adnan berkata, Cuepacs juga berharap industri penerbangan dapat memberi kelonggaran kepada mereka yang telah membuat tempahan perjalanan untuk ‘open’ tiket bagi tarikh perjalanan yang baharu dan bukannya membatalkan terus tanpa pemulangan wang kepada pelanggan.

Beliau berkata, ia sedikit sebanyak boleh membantu meringankan kerugian rakyat yang sudah menempah tiket sebelum ini.

Menurutnya, penyedia perkhidmatan pelancongan dan perhotelan tempatan juga perlu bertimbang rasa sekiranya terdapat tempahan yang terpaksa dibatalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Cuepacs berharap isu Covid-19 ini akan selesai dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!