Kementerian Komunikasi adakan taklimat penerangan RMK13 malam ini - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi akan mengadakan satu sesi taklimat penerangan bersama pihak berkepentingan berhubung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) secara dalam talian pada Khamis malam.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sesi tersebut melibatkan 1,878 Komuniti Madani dan 1,099 Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di seluruh negara.

“Ia diadakan secara serentak bagi memastikan usaha dan ikhtiar kerajaan Madani melalui RMK13 dapat difahami oleh mereka yang merupakan penggerak di peringkat akar umbi.

“Bila kita dapat membantu komuniti Madani, Pengurus Nadi menyebarluaskan ikhtiar dan hasrat kerajaan, maka rakyat akan mendapat manfaat akhirnya.

“Kita buat secara dalam talian dan dijangkakan lebih 3,000 akan mendengar taklimat tersebut,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat pada Khamis.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, RMK13 merupakan cerminan kepada wadah yang dibawa oleh kerajaan melalui kerangka Ekonomi Madani bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Kita mengambil kira dan memahami pelbagai peluang yang wujud dengan trend mega serta cabaran domestik yang ada.

"Dalam konteks itu, RMK13 berusaha mencakupi semua dimensi, termasuk kemampanan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam dan pengukuhan tatakelola,” ujarnya.

Menurut beliau, lebih daripada 40 dasar utama, pelan tindakan dan lebih 85 rang undang-undang (RUU), turut dimasukkan turut dimasukkan dalam dokumen RMK13.

Artikel Berkaitan:

“Secara ringkasnya ada tiga teras utama menaikkan pendapatan negara, meningkatkan pendapatan rakyat dan memperkukuh tatakelola yang baik.

“Terdapat empat tonggak dan sembilan tumpuan seperti yang diumumkan. Fokus peralihan termasuk aspek pendigitalan dan teknologi termaju terutama kecerdasan buatan (AI), yang mana kita berharap lima tahun akan datang Malaysia menjadi antara negara berteraskan AI utama di dunia,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!