Laungan 'Kekal Anwar' bergema di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pada Khamis bergema dengan laungan 'Kekal Anwar' sejurus selesai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beberapa Ahli Parlimen dilihat melaungkan slogan tersebut sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menangguhkan sesi persidangan kepada Isnin hadapan.
Laungan itu dipercayai sebagai reaksi balas terhadap teriakan 'Turun Anwar' yang menjadi antara agenda himpunan aman anjuran pembangkang pada Sabtu lalu.
Himpunan berkenaan yang berlangsung di ibu negara difahamkan bertujuan mendesak perubahan kepimpinan negara.
RMK13 yang dibentangkan oleh Anwar merangkumi pelan pembangunan menyeluruh termasuk peruntukan pelaburan, kadar gaji minimum, peluasan hasil cukai, serta insentif perlindungan sosial dan faedah kepada rakyat.
Anwar, 78, yang juga Menteri Kewangan, tampil segak dengan baju kemeja batik lengan panjang dan seluar slack hitam ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

