50 tahun Charlie berbakti, pengganti masih dinanti

SEPANJANG berada di dalam ruang kargo pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), deruman empat enjin turboprop dan gegaran pesawat memberikan pengalaman berbeza berbanding penerbangan komersial biasa.
Tempat duduk kanvas yang ringkas dan ruang dalaman terbuka menjadi sebahagian daripada suasana sepanjang penerbangan. Bunyi enjin yang kuat pula menjadikan komunikasi dalam pesawat perlu dilakukan dengan lebih teliti.
Peluang membuat liputan secara langsung di dalam pesawat yang lebih dikenali sebagai Charlie itu ketika latihan penerjunan bebas anggota komando Grup Gerak Khas (GGK) sempena Perintah Ulung Panglima 21 GGK ke-17 pada Februari 2025 antara pengalaman sukar dilupakan sepanjang bertugas sebagai penulis pertahanan sebelum ini.
Tugasan itu bukan sekadar menyaksikan anggota komando melakukan penerjunan, tetapi turut memberikan peluang merasai sendiri suasana di dalam pesawat pengangkut berkenaan ketika latihan berlangsung.
Bagi memastikan setiap fasa penerjunan dapat dirakam dan didokumentasikan, penerbangan ulang-alik dilakukan sebanyak tiga kali pergi dan tiga kali balik dari Pangkalan Udara Kuantan ke Pantai Tanduo atau DZ Tanduo yang merupakan zon pendaratan tentera di dalam Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Lebih menarik, dari dalam pesawat dapat dilihat sendiri persiapan seramai 90 anggota GGK sebelum mereka melakukan penerjunan. Setiap pergerakan dilakukan mengikut arahan serta prosedur ditetapkan sebelum anggota keluar dari pesawat untuk membuat terjunan.

Pengalaman itu memberi gambaran lebih dekat bagaimana Charlie bukan sekadar membawa anggota ke lokasi operasi, malah menjadi platform penting dalam latihan dan pelaksanaan tugasan taktikal pasukan keselamatan negara.
Apa yang mungkin kelihatan seperti penerbangan biasa kepada orang awam sebenarnya mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan anggota serta peralatan dapat digerakkan mengikut keperluan operasi.
Pengalaman sendiri berada di dalam pesawat itu memperlihatkan bahawa keupayaan sesebuah aset ketenteraan bukan hanya dinilai berdasarkan spesifikasi di atas kertas, tetapi juga sejauh mana ia mampu memenuhi keperluan anggota yang bergantung kepadanya ketika menjalankan tugas.
Lima dekad bukan tempoh singkat bagi sesebuah pesawat untuk terus berkhidmat, apatah lagi apabila aset itu masih menjadi antara sandaran utama operasi pengangkutan udara ketenteraan negara.
Hari ini, Jumaat, sambutan ulang tahun ke-50 perkhidmatan C-130 Hercules yang mula diterima TUDM pada 1976 menjadi ruang untuk mengenang sumbangan Charlie sepanjang lima dekad.
Pesawat pengangkut itu telah mengharungi pelbagai misi dan melalui perubahan keperluan pertahanan negara, termasuk membawa anggota tentera, menghantar bekalan logistik serta melaksanakan misi bantuan kemanusiaan.
Sumbangannya sepanjang lima dekad menjadikan Charlie antara aset penting dalam memastikan keupayaan operasi TUDM terus berjalan.
Bagaimanapun, usia yang semakin tua menimbulkan persoalan mengenai kemampuan armada berkenaan untuk terus memenuhi keperluan operasi pada masa hadapan.
Dibangunkan oleh Lockheed Martin di Amerika Syarikat (AS), C-130 Hercules melakukan penerbangan pertama pada 23 Ogos 1954 sebelum menjadi antara pesawat pengangkut tentera yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Dilengkapi empat enjin turboprop, sayap tinggi dan pintu kargo belakang, pesawat itu mampu membawa anggota tentera, kenderaan serta bekalan logistik, selain digunakan untuk pengguguran bekalan dari udara dan penerjunan payung terjun.

Malaysia mula menerima varian C-130H pada 1976 bagi memperkukuh keupayaan pengangkutan udara TUDM, dengan perolehan seterusnya dilakukan secara berperingkat.
Peranan Charlie tidak terhad kepada operasi ketenteraan, malah turut digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan ketika bencana dan krisis.
Ketika pandemik Covid-19, C-130H pernah membawa tujuh tan bekalan makanan ke pedalaman Sabah menerusi program Kembara Prihatin Negara (KPN) untuk diagihkan kepada penduduk terjejas.
Peranannya turut melangkaui sempadan negara apabila TUDM menghantar kira-kira 12 tan bantuan perubatan ke Indonesia pada 15 September 2021 menggunakan pesawat C-130H daripada No 20 Skuadron.
Bantuan itu termasuk 880 unit penumpu oksigen, peralatan perlindungan diri, pelitup muka, pelindung muka, sarung tangan perubatan dan cecair pembasmi kuman.
Kepelbagaian fungsi itu menjadikan Charlie aset penting dalam operasi ketenteraan dan kemanusiaan, khususnya untuk menggerakkan anggota serta menghantar bekalan ke lokasi yang memerlukan.
Nahas
Sepanjang lima dekad perkhidmatannya, Charlie juga tidak terlepas daripada nahas dan insiden penerbangan.
Pada 25 Ogos 1990, sebuah pesawat C-130H TUDM bernombor pendaftaran M30-03 terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Sibu, Sarawak sehingga mengorbankan seorang penumpang dan mencederakan tiga yang lain.

Pesawat yang membawa rombongan berkaitan lawatan diraja itu mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi digunakan selepas kejadian berkenaan.
Pada 18 November 2017 pula, sebuah lagi pesawat C-130 Hercules terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Labuan selepas mengalami masalah gear pendaratan.
Pesawat berkenaan berlegar hampir enam jam sebelum berjaya mendarat pada jam 5.15 petang tanpa menggunakan gear pendaratan seperti biasa. Kesemua anak kapal dilaporkan terselamat tanpa kecederaan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris pada Jun lalu memaklumkan, TUDM mengendalikan 10 pesawat C-130 Hercules daripada beberapa varian, dengan pesawat tertua berusia 50 tahun manakala paling muda 31 tahun.
Beliau turut menjelaskan peningkatan kos penyelenggaraan pesawat lama dan kelebihan teknologi serta kapasiti muatan pesawat generasi baharu menjadikan penggantian C-130 antara perkara yang perlu diberikan perhatian.
“Usia 50 tahun bagi sesebuah pesawat merupakan tempoh yang sangat panjang,” katanya ketika mengulas keperluan merancang penggantian aset lebih awal pada Jun lalu.
Usia armada yang semakin uzur turut menuntut pemeriksaan struktur, penggantian komponen dan penyelenggaraan berkala bagi memastikan pesawat terus memenuhi keperluan keselamatan penerbangan.
Peranan
Dalam hal ini, keupayaan jurutera tempatan juga perlu diberi pujian apabila memainkan peranan penting dalam memastikan aset negara terus dapat dikendalikan.
Pada 7 Februari 2023, TUDM menyerahkan pesawat C-130H bernombor pendaftaran M30-08 kepada No 14 Skuadron selepas selesai menjalani penyelenggaraan Structural Inspection 33 Years (ST 33 Years) di Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Labuan.

Kerja penyelenggaraan itu bermula pada 15 Mac 2021, manakala penerbangan pemeriksaan fungsi pertama dilaksanakan pada 22 Oktober 2022 sebelum proses penyelenggaraan dilaporkan selesai pada 22 November 2022.
Kejayaan tersebut memperlihatkan keupayaan kejuruteraan TUDM melaksanakan penyelenggaraan barisan kedua terhadap pesawat C-130H secara berperingkat.
Persoalan penggantian Charlie bukan perkara baharu kerana keperluan itu sudah terkandung dalam perancangan pembangunan keupayaan TUDM.
Pada 7 Mac 2023, Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Adly Zahari memaklumkan di Parlimen bahawa menerusi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pesawat C-130H dirancang untuk terus beroperasi sehingga 2040 sebelum penggantian dilaksanakan secara berperingkat bermula Rancangan Malaysia Ke-16 (RMKe-16).
Bagaimanapun, perkembangan semasa menunjukkan TUDM turut memberi perhatian terhadap keperluan mempercepat atau menyusun semula perancangan penggantian berdasarkan keadaan aset dan keperluan operasi.
Pada 18 Jun 2026, Muhamad Norazlan memaklumkan TUDM sedang merancang penggantian pesawat C-130 susulan faktor usia, peningkatan kos penyelenggaraan dan keperluan mendapatkan aset yang mempunyai teknologi serta kapasiti lebih baik.
Kenyataan itu menunjukkan penggantian bukan sekadar perkara yang dirancang untuk jangka masa panjang, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada pertimbangan pembangunan keupayaan TUDM.
Walaupun Malaysia kini memiliki empat pesawat pengangkut Airbus A400M Atlas yang mempunyai kapasiti muatan maksimum 37 tan, keperluan terhadap pesawat pengangkut taktikal bersaiz sederhana seperti C-130 masih perlu dipertimbangkan.
Hal ini kerana setiap jenis pesawat mempunyai peranan dan keupayaan tersendiri mengikut keperluan operasi. Penggantian C-130 tidak boleh dinilai berdasarkan kapasiti pengangkutan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira jenis tugasan yang selama ini dilaksanakan oleh Charlie.
Antara model yang sering dikaitkan dengan keperluan penggantian itu termasuk C-130J Super Hercules dan Embraer C-390 Millennium. Kedua-duanya merupakan pesawat pengangkut tentera generasi lebih baharu yang menawarkan keupayaan tersendiri.
Namun, pemilihan aset pengganti tidak boleh dianggap sebagai pilihan yang sudah diputuskan TUDM, sebaliknya perlu mengambil kira kos perolehan, penyelenggaraan, ketersediaan alat ganti, keupayaan operasi dan kesesuaian dengan infrastruktur sedia ada.
Teratur
Malah, perancangan itu juga perlu mengambil kira CAP55 dan garis masa pengoperasian aset sedia ada.
Apa yang lebih penting, proses perolehan perlu dilakukan secara teratur dan dirancang mengikut keperluan dan garis masa yang jelas bagi mengelakkan jurang keupayaan apabila pesawat sedia ada tidak lagi dapat memenuhi tuntutan operasi.

Selepas lima dekad berkhidmat, sumbangan C-130 Hercules kepada negara sememangnya tidak boleh dinafikan dan pesawat itu sudah melalui pelbagai fasa perubahan keperluan pertahanan, operasi ketenteraan serta misi bantuan kemanusiaan.
Peranannya turut memperlihatkan kepentingan pengangkutan udara dalam memastikan anggota serta bekalan dapat disampaikan ke lokasi yang memerlukan.
Namun, penghargaan terhadap jasa Charlie tidak seharusnya menyebabkan keperluan memperbaharui aset pertahanan dipandang ringan.
Sebaliknya, ulang tahun Jubli Emas ini wajar menjadi ruang untuk menilai semula keupayaan armada sedia ada serta memastikan perancangan penggantian dilaksanakan mengikut keperluan operasi TUDM.
Charlie mungkin sudah membuktikan kemampuannya selama 50 tahun, namun keupayaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan perancangan masa depan.
Justeru, Malaysia perlu bersedia menyediakan pelapis yang mampu meneruskan peranan penting pesawat itu dalam memastikan keselamatan serta kepentingan pertahanan negara terus terpelihara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
