Perjanjian tarif AS-Malaysia dijangka dimeterai selepas panggilan telefon Trump-Anwar

KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengadakan perbualan telefon penting pada 31 Julai, sehari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Washington bagi pelaksanaan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas produk Malaysia bermula 1 Ogos.
Sumber rasmi memberitahu The Straits Times bahawa satu perjanjian berhubung kadar tarif baharu dijangka diumumkan selewat-lewatnya 1 Ogos, dengan pengurangan kadar kepada sekitar 20 peratus atau serendah 15 peratus.
Difahamkan, Malaysia bersetuju membuat beberapa konsesi dalam rundingan tersebut termasuk dalam isu pensijilan halal dan pembekalan unsur nadir bumi iaitu sejenis mineral kritikal yang digunakan dalam pelbagai teknologi canggih.
"Panggilan itu dibuat awal pagi ini selepas pihak AS mencadangkannya beberapa jam sebelumnya," kata seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai rundingan tersebut.
Menurut beberapa pegawai perdagangan dan ekonomi Malaysia, Kuala Lumpur bersetuju mengiktiraf pensijilan halal dari AS bagi beberapa produk termasuk farmaseutikal.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia juga bakal membekalkan unsur nadir bumi kepada AS.
Malaysia kini mempunyai simpanan nadir bumi melebihi 16 juta tan, dengan nilai dianggarkan mencecah RM1 trilion.
Bagaimanapun, bijih nadir bumi yang dilombong di negara ini kini dieksport ke China memandangkan Malaysia masih belum mempunyai teknologi untuk memprosesnya.
Washington menjadikan penguasaan ke atas sumber nadir bumi sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan negara memandangkan China kini menguasai sebahagian besar pengeluaran mineral itu.
Pelbagai jenis nadir bumi digunakan dalam penghasilan peralatan teknologi termasuk telefon pintar, penjana kuasa dan kelengkapan pertahanan.
Sementara itu, satu lagi isu sensitif yang turut menjadi fokus dalam rundingan tarif AS-Malaysia ialah dasar kuota ekuiti untuk bumiputera, merangkumi majoriti Melayu dan kumpulan pribumi lain.
Bagaimanapun, sebarang usaha untuk menghapuskan dasar ekonomi berasaskan kaum yang telah lama diamalkan itu dilihat mustahil untuk diterima secara politik oleh pentadbiran Anwar.
Panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin dipercayai berlangsung susulan perbualan antara Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 30 Julai (waktu AS), berhubung peranan Malaysia dalam rundingan damai Thailand-Kemboja.
Pada 28 Julai, Anwar dilaporkan berjaya menganjurkan rundingan gencatan senjata antara Bangkok dan Phnom Penh susulan konflik sempadan yang telah meragut puluhan nyawa sejak dua bulan lalu.
Trump sebelum itu memberi amaran akan menghentikan rundingan tarif dengan kedua-dua negara sekiranya krisis tidak diselesaikan. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

