Orang ramai dinasihat tidak terpedaya taktik ajak daftar SARA RM100

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang taktik penipuan scammer yang menggalakkan pendaftaran bagi memohon bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia kerana bantuan penghargaan SARA itu diagihkan secara terus kepada semua pemegang MyKad.

“Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat oleh warganegara Malaysia memandangkan kelayakkan untuk penghargaan SARA adalah secara automatik.

“Ia berdasarkan data semua warganegara dewasa yang memegang MyKad. Data pemegang MyKad daripada Jabatan Penerangan Negara (JPN) akan digunakan bagi tujuan ini.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang penipuan atau taktik scammer yang menjemput (melakukan) pendaftaran,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai proses pendaftaran dan bagaimana untuk melayakkan diri bagi menerima serta berbelanja RM100 di bawah inisiatif SARA untuk semua.

Pada 23 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas turut menerima bantuan SARA RM100 sekali beri.

Bantuan kewangan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini bagi membeli barangan asas ditetapkan di 4,100 kedai di seluruh negara.

Ujar Amir Hamzah, inisiatif tersebut juga membolehkan sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit SARA yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh sebuah keluarga yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak berumur 18 tahun ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM500, bukan hanya RM100 seisi rumah.

“Kredit ini juga boleh dibelanjakan daripada lebih 4,500 premis runcit berdaftar sehinga 29 Julai 2025 dan akan bertambah dari masa ke semasa.Ia melibatkan lebih daripada 90,000 barangan keperluan dalam 14 kategori,” ujarnya.

Menurut beliau, mekanisme pelaksanaan SARA pada tahun ini juga adalah seragam di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melalui penggunaan MyKad berbanding pemberian tunai kepada penerima.

“Bantuan SARA telah mendapat sambutan baik daripada penerima dengan purata penggunaan mencecah sebanyak 93 peratus untuk 2025 setakat ini.

“Untuk menggunakan kredit yang diberikan, SARA hanya memerlukan MyKad penerima termasuk warga emas dan golongan rentan,” katanya. 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!