Hati-hati dakwaan boleh keluar SARA RM100 dari MyKad - JPN

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan tidak percaya terhadap dakwaan pihak tertentu yang boleh mengeluarkan duit bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 daripada MyKad.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam hantaran di Facebook berkata, ini kerana MyKad hanya digunakan sebagai medium pengesahan maklumat bagi mengesahkan sama ada pemilik kad berkenaan merupakan penerima bantuan SARA atau tidak.
“Ia berfungsi untuk verifikasi sahaja, bukan untuk menyimpan atau memindahkan wang.
“Jangan sesekali percaya jika ada pihak mendakwa mereka boleh keluarkan duit daripada MyKad anda,” katanya pada Jumaat.
Ujar JPN, masih ramai yang keliru berhubung peranan MyKad dalam pelaksanaan bantuan SARA RM100.
Menurutnya, duit bantuan tidak dimasukkan ke dalam MyKad dan fungsi Touch n Go juga tidak digunakan dalam kad berkenaan.
“Sentiasa semak maklumat daripada sumber rasmi seperti laman web Kementerian Kewangan (MOF) atau agensi-agensi berkaitan. Lindungi diri, lindungi maklumat anda
“Sekiranya MyKad anda rosak, hilang atau tidak dapat digunakan, penggantian boleh dibuat melalui saluran kaunter JPN, MyPhone-In (03-8880 7077), JPN e-Services atau melalui perkhidmatan bas dan van bergerak JPN,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

