Buatlah keputusan segera haramkan vape

KERAJAAN nampaknya masih terperangkap dalam dilema antara mahu mengawal, menghalalkan atau mengharamkan terus rokok elektronik atau vape yang jelas memberi kesan buruk kepada tahap kesihatan rakyat.
Sampai bila isu ini mahu terus menjadi perbincangan tanpa sebarang keputusan?
Setakat ini, kerajaan bergantung kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh untuk mengekang penularan rokok elektronik ini.
Namun di luar sana, vape dijual secara terbuka dan bebas termasuk kepada pelajar sekolah tanpa pengawasan. Malah, ia jauh lebih murah daripada harga rokok.
Pelbagai usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berterusan mengekang hal ini juga harus dihargai, malah mereka mengambil tanggungjawab penuh dalam isu ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengakui kerajaan sedang menuju ke arah pengharaman penuh vape dan satu jawatankuasa telah bermesyuarat pada 22 Julai lalu bagi menilai pro dan kontra cadangan tersebut.
Dalam masa sama, tindakan pantas enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang mengambil langkah sendiri menghentikan penjualan lesen penjualan vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan tidak mengeluarkan lesen premis adalah langkah yang wajar dipuji sebagai usaha mempertahankan kesihatan awam.
Namun, rakyat terus ternanti-nanti kajian dan perbincangan yang sedang dijalankan. Kajian demi kajian dilakukan, cabarannya pula vape umpama ‘gula-gula’ terus menggoda kanak-kanak dan remaja setiap hari.
Apakah kita mahu menunggu angka kematian, atau generasi ketagih, barulah mahu buat keputusan?
Sudah sampai masanya kerajaan menggunakan apa jua akta sedia ada termasuklah Akta 852 dengan lebih tegas untuk menyekat vape secara tuntas sebelum ia membarah lebih jauh.
Ini kerana, jika kemudaratan sudah berlaku, tidak ada dasar kesihatan pun yang mampu membetulkan masa depan yang telah rosak.
Bertindaklah tegas dan segera, tidak mustahil ramai yang akan menyokong baik tindakan ini demi kesejahteraan semua pihak dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
