Pertanian bandar bantu rakyat jimat RM40 seminggu

KUALA KANGSAR – Inisiatif program pertanian bandar mampu menjimatkan perbelanjaan dapur isi rumah sehingga RM40 seminggu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penjimatan tersebut diperoleh hasil pengeluaran sayur-sayuran secara kendiri menerusi pelbagai projek tanaman di rumah, laman dan kawasan komuniti.
Menurutnya, dapatan hasil kajian yang dijalankan oleh Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Jabatan Pertanian Malaysia pada akhir 2024 menunjukkan bahawa peserta program pertanian bandar mencatatkan penjimatan sebanyak RM160 sebulan atau RM1,920 setahun dalam perbelanjaan dapur.
“Kalau kita berjaya amalkan perkara ini dalam keluarga, bukan sahaja boleh jimat RM40 seminggu, bahkan lebih lagi.
“Ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah memberikan makanan yang lebih sihat dan bebas racun kepada keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pertanian Bandar anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perak di Institut Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK) di sini pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pengembangan) Jabatan Pertanian Perak, Shahril Sabri dan Timbalan Pengarah (Operasi), Zuriana Ahmad.
Mohd Zolkafly berkata, sehingga kini program pertanian bandar telah memberi manfaat kepada 6,420 peserta di 917 lokasi di seluruh negeri dengan nilai pengeluaran melebihi RM134,000.
Katanya, ia turut merangkumi 210 sesi latihan dan pemindahan teknologi yang melibatkan komuniti taman, kampung, masjid, surau, sekolah, institusi kerajaan dan swasta serta usahawan pertanian melalui kerjasama pelbagai agensi di peringkat negeri dan persekutuan.
“Apa yang penting ialah kerjasama komuniti, jangan semua tanam benda yang sama.
“Contohnya, lima orang tanam serai dan sawi, lima orang lagi tanam petola dan timun. Maka boleh saling bertukar hasil dan berbahagi makanan,” jelasnya.
Sementara itu, Shahril berkata, program pertanian bandar di Perak mencatat peningkatan penyertaan lebih 50 peratus tahun ini termasuk dalam kalangan sekolah yang melihat bidang tersebut sebagai asas penting dalam pendidikan.
Katanya, perkara itu dapat dilihat melalui penambahan peruntukan pelaksanaan program sebanyak RM800,000 berbanding RM400,000 pada tahun lalu.
“Kita lihat pertanian bandar semakin diterima kerana mudah dilaksanakan dan senang dijaga, terutamanya melalui kaedah hidroponik.
“Tanaman yang paling digalakkan ialah sayur-sayuran seperti sawi, kangkung dan salad kerana memerlukan penyelenggaraan yang mudah,” katanya.
Seminar yang julung kali diadakan itu menghimpunkan 100 peserta bimbingan Jabatan Pertanian Perak dan melibatkan pembentangan lima kertas kerja serta sesi perkongsian kisah kejayaan oleh peserta Program Pertanian Bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

