Penjadualan semula pengairan sawah di Kerian sedang diteliti - Exco

Keadaan semasa paras Empangan Kolam Bukit Merah yang dikongsi JPS Perak di laman Facebook rasmi pada Rabu.
Keadaan semasa paras Empangan Kolam Bukit Merah yang dikongsi JPS Perak di laman Facebook rasmi pada Rabu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kerajaan negeri Perak sedang meneliti cadangan untuk menjadualkan semula sistem bekalan air bagi pengairan sawah padi di Lembah Kerian susulan masalah kekeringan Kolam Bukit Merah yang berlaku hampir setiap tahun.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penyusutan ketara paras air di kolam tersebut telah menjejaskan penyediaan sumber air mencukupi kepada pesawah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penjadualan semula pengagihan air akan dilakukan berdasarkan kapasiti semasa kolam bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara adil dan terancang kepada semua pesawah.

“Memang setiap tahun kita berdepan dengan masalah kekurangan air dan tahun ini kita lihat susutan air di Kolam Bukit Merah agak besar. Kalau kita tidak buat penjadualan semula, mungkin sebahagian pesawah tidak akan mendapat bekalan air yang mencukupi.

Mohd Zolkafly (kanan) bercakap kepada pemberita pada Rabu.
Mohd Zolkafly (kanan) bercakap kepada pemberita pada Rabu.

“Sekiranya kita susun semula jadual tanaman dan pengairan mengikut kapasiti air yang ada sekarang, saya yakin masalah ini boleh diatasi, kalaupun bukan 100 peratus, sekurang-kurangnya 80 peratus dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pertanian Bandar anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perak di Institut Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pengembangan) Jabatan Pertanian Perak, Shahril Sabri dan Timbalan Pengarah (Operasi), Zuriana Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zolkafly berkata, buat masa ini kerajaan negeri belum menerima sebarang memorandum rasmi daripada pesawah mengenai cadangan penjadualan semula itu, namun perbincangan telah diadakan antara pihak berkepentingan termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pertanian.

“Kita sedang usahakan secara berperingkat dengan sebaik mungkin,” katanya.

Tambah beliau, sebagai langkah jangka pendek, kerajaan negeri turut menggesa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaksanakan operasi pembenihan awan bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan terjejas.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Baru-baru ini, Menteri Besar juga sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri  (Datuk Seri Fadillah Yusof – Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) agar pelaksanaan pemindahan air ini boleh disegerakan,” katanya.

Pada 17 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan rayuan petani kepada pihak berwajib agar menyemak semula jadual pelepasan air antara kawasan Semanggol dan Parit Haji Ali Beriah selepas mengalami enam musim berturut-turut tanpa hasil padi memuaskan akibat kekurangan bekalan air.

Keadaan Empangan Kolam Bukit Merah di Bagan Serai terus membimbangkan apabila paras air dilaporkan menyusut dengan ketara susulan cuaca kering berpanjangan sejak Mei lalu.

Menurut makluman rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pada Rabu, paras air semasa mencatat bacaan 6.020 meter, dan bekalan air ke sawah padi akan dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada keperluan bekalan air mentah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!