Doktor teruskan pembedahan walaupun hospital bergegar

MOSCOW – Sekumpulan doktor di Rusia menunjukkan keberanian luar biasa apabila tetap meneruskan pembedahan kecemasan walaupun gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda kawasan itu awal pagi Rabu.
Insiden dramatik itu berlaku di sebuah hospital di wilayah Timur Rusia ketika pasukan perubatan sedang menjalankan pembedahan penting ke atas seorang pesakit.
Menurut media tempatan, gegaran kuat yang melanda menyebabkan peralatan perubatan dan struktur dalaman hospital bergoyang, namun pasukan doktor kekal fokus dan meneruskan prosedur demi menyelamatkan nyawa pesakit.
“Keadaan sangat mencemaskan, tetapi kami tidak boleh berhenti. Nyawa pesakit lebih penting,” kata seorang ahli bedah yang enggan dikenali.
Pihak hospital memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan pembedahan berjaya diselesaikan tanpa sebarang komplikasi.
Tindakan pantas dan profesionalisme pasukan perubatan itu menerima pujian meluas dalam kalangan netizen serta pihak berkuasa kesihatan negara.
Gempa bumi kuat yang berpusat di perairan berhampiran Kepulauan Kuril turut mencetuskan amaran tsunami di beberapa kawasan termasuk Jepun, Alaska dan Hawaii. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

