Gempa bumi kuat 8.8 magnitud landa Rusia, amaran tsunami dikeluarkan

Sebuah skrin televisyen menyiarkan laporan berita mengenai amaran tsunami di Jepun susulan gempa bumi yang berlaku di perairan luar Semenanjung Kamchatka, Rusia. – Foto: Issei Kato
Sebuah skrin televisyen menyiarkan laporan berita mengenai amaran tsunami di Jepun susulan gempa bumi yang berlaku di perairan luar Semenanjung Kamchatka, Rusia. – Foto: Issei Kato
A
A
A

MOSCOW – Gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud menggegarkan perairan timur Semenanjung Kamchatka di Rusia pada jam 9.25 pagi waktu tempatan (7.25 pagi waktu Malaysia), sekali gus mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara sekitar Lautan Pasifik.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu berlaku pada kedalaman cetek iaitu sekitar 19.3 kilometer.

Magnitud kejadian itu turut disemak semula daripada 8.0 kepada 8.8, diikuti satu gempa susulan berukuran 6.9 magnitud tidak lama selepas itu.

Pihak berkuasa di Kamchatka memaklumkan gelombang tsunami setinggi tiga hingga empat meter telah dikesan melanda beberapa kawasan pantai di rantau tersebut.

Sementara itu, agensi meteorologi Jepun mengesahkan gelombang tsunami setinggi kira-kira 30 sentimeter telah tiba di bandar Nemuro, Hokkaido, di bahagian timur negara itu.

Susulan itu, amaran dan pemantauan tsunami telah dikeluarkan di seluruh rantau Pasifik termasuk Rusia, Jepun, Pantai Barat Amerika Syarikat dan Alaska, Hawaii, Filipina serta Indonesia.

Gempa bumi ini dilaporkan sebagai yang terkuat melanda kawasan tersebut sejak tahun 1952 apabila gegaran sekuat 9.0 magnitud menyebabkan kerosakan besar di Kamchatka dan menghasilkan gelombang tsunami setinggi 9.1 meter di Hawaii. Namun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian ketika itu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu kenyataan ringkas turut menasihatkan penduduk Hawaii agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Utamakan keselamatan diri dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa di seluruh kawasan yang terlibat kini sedang memantau perkembangan dan menggesa orang ramai untuk berpindah dari kawasan berisiko serta menjauhi pantai sehingga amaran ditarik balik. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!