[VIDEO] Wanita didakwa bunuh ibu kekasih
TELUK INTAN - Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu kepada teman lelakinya, dua minggu lalu.
Tertuduh, M Shobna, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa telah membunuh M Sumathy, 66, di bilik sebuah rumah di Jalan Teratai J4/1, Taman Indah Jaya, di sini, sekitar jam 3 pagi pada 15 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 11 September ini bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Terdahulu, seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai dicekik kekasih anak lelakinya akibat perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, siasatan mendapati mangsa dijumpai terbaring di sebuah bilik tidur.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat unsur-unsur mencurigakan sekali gus membawa penahanan anak lelaki mangsa berusia 36 tahun dan teman wanitanya.
"Kedua-dua suspek kemudian telah direman dan hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati kedua-dua positif dadah," katanya.
Menurut Bakri, siasatan penuh mendedahkan motif kejadian disebabkan perselisihan faham yang berlaku menyebabkan suspek wanita bertindak membunuh mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
