Anak-anak zaman sekarang tengok katak pun takut

Aktiviti lasak bantu pupuk keyakinan dan ketahanan diri anak sejak kecil. Gambar hiasan
Aktiviti lasak bantu pupuk keyakinan dan ketahanan diri anak sejak kecil. Gambar hiasan
A
A
A

Merak Jalanan paling tak minat apabila ada ibu bapa yang terlalu melindungi anak-anak sampai nak pegang haiwan pun dianggap kotor dan bahaya.

Jumaat hingga Ahad lepas, berlangsungnya Karnival Siang Malam di Karangkraf. Macam-macam aktiviti menarik disediakan, dari reruai makanan, permainan sukan hinggalah cabaran untuk yang berjiwa ekstrem.

Merak Jalanan melihat ada satu aktiviti yang lain macam sikit iaitu permainan Baca Berita Ekstrem. Bagaimana cabarannya? Kena ambil guli dalam bekas berisi katak hidup dan tikus putih sambil baca berita. Bukan senang nak kekal fokus bila katak lompat-lompat sebelah tangan!

Tapi yang menarik perhatian Merak Jalanan adalah ramai kanak-kanak berani sahut cabaran ini. Ada yang tersenyum bangga lepas berjaya, tapi ada juga yang menjerit geli dan terus tak mahu buat.

Merak Jalanan teringat zaman kecil dulu, hidup dikelilingi ayam, itik, kucing, malah sesekali jumpa ular belakang rumah. Itu semua biasa. Pegang, main, lari itu semua sebahagian dari proses membesar.

Merak Jalanan suka apabila lihat kanak-kanak yang lasak, berani cuba perkara baharu. Dari situlah datangnya keyakinan diri dan ketahanan fizikal. Kalau kecil-kecil dah takut pegang katak, besar nanti lipas mati pun lari menyorok.

Merak Jalanan ingin berpesan bukan nak suruh anak jadi ‘jungle boy’ tapi biarlah mereka kenal dunia sebenar, termasuklah dunia haiwan. Lasak bukan bermaksud ganas, tapi bersedia hadapi cabaran tanpa terlalu manja.

Zaman sekarang, banyak perkara yang boleh buat anak jadi lembik termasuk gajet, kerusi empuk dan makanan segera. Jadi biarlah sesekali mereka berpeluh, pegang tanah, kejar ayam, atau cabut guli dari bekas penuh katak. Itu semua latihan hidup.

Merak Jalanan percaya, anak yang berani pegang haiwan, akan lebih berani hadapi hidup.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!